Thursday, December 11, 2014

Imej ulama sedang mengalami kerosakan besar





Dinsman (Hrkh 466, 12/1214)
Imej ulama sedang mengalami kerosakan besar

Terima kasih para pembaca yang respons kepada tulisan saya keluaran lalu, mengenai ulama yang hilang keyakinan diri. Ada yang bersetuju dan ada yang tak bersetuju. Alhamdulillah tak ada yang marah-marah hingga ke tahap maki-hamun dan sumpah-seranah seperti yang banyak bersepah dalam blog, fb dan watsapp.

Beberapa orang mengatakan saya berat sebelah. Antaranya Abu Ahmad ini yang berkata: “Tulisan tuan dalam kolum Harakah agak berat sebelah. Setahu saya golongan ulama banyak memainkan peranan dan sumbangan kepada masyarakat. Banyak individu dan kumpulan menjalankan tugas mereka. Tak tahulah samada tuan nampak atau buat-buat tak nampak. Soalan: adakah tuan peminat Pasma, dan adakah tuan suka kepada golongan liberal seperti PKR dan DAP?”

Seterusnya dia menambah: “Saya amat harap tuan betulkan persepsi agar lebih positif terhadap ulama berbanding mereka yang amalkan lgbt, liberal, sosialis, syiah dan lain-lain isme, yang sudahpun meresap dalam parti politik termasuk PAS.”

Yang lain-lainnya tak perlulah saya salin di sini. Boleh diwakili oleh pandangan Abu Ahmad itu. Manakala yang banyaknya pula bersetuju dengan pandangan dalam tulisan tersebut.

Apa yang dimaksudkan Abu Ahmad mengatakan saya berat sebelah? Kerana saya hanya menyebut kelemahan dan kekurangan golongan ulama dan tidak menyebut yang sama kepada golongan profesional dan intelektual?

Memang. Kerana yang menyebabkan pandangan umum terhadap PAS sekarang menjadi negatif ialah akibat tindakan golongan ulamanya, bukan akibat tindakan golongan profesional. Dan saya pun, dalam tulisan itu, bukannya menghina ulama dan menafikan peranan dan sumbangan mereka selama ini. Sama sekali tidak.

Saya hanya memfokus kepada tindakan mereka melancarkan kempen ala-ala Umno yang bertujuan menolak golongan profesional dan intelektual daripada dipilih memegang satu dua jawatan tertinggi di dalam parti, dengan mengelirukan konsep “Kepemimpinan Ulama” itu sendiri. (Sila baca penjelasan saya mengenai konsep “Kepemimpinan Ulama” ini dalam www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/kepemimpinan....)

Saya fokus kepada perkara tersebut kerana saya percaya di situlah tumbuhnya bibit-bibit yang kemudiannya merebak dan mewabak hingga rosak hubungan antara ulama dan bukan ulama (di dalam PAS), rosak hubungan antara parti dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat, dan rosak tanggapan awam terutamanya orang bukan Islam kepada Islam, khasnya kepada PAS.

Dan kerosakan itu bukannya kerosakan kecil. Kerosakan itu adalah kerosakan yang sangat besar. Rosak hasil usaha yang dibuat bertahun-tahun untuk membina hubungan baik dan imej baik terhadap PAS dan terhadap Islam. Baru saja usaha keras dan gigih bertahun-tahun itu menunjukkan kejayaannya, kini ia telahpun rosak.

Ramai kawan-kawan saya budayawan dan ilmuwan yang jadi sangat kecewa dengan kerosakan itu. Ada yang menunjukkan rasa kecewa itu hingga ke tahap yang begitu mengejutkan. Rupa-rupanya komitmen mereka terhadap perjuangan PAS begitu besar dan mendalam, walaupun mereka tidak aktif dalam politik, dan hanya aktif dalam seni-budaya. Jangan pandang remeh dengan komitmen mereka.

Seorang pembaca menghantar mesej begiini: “Apa yang ditulis dan dirasai dalam minda Dinsman sebenarnya turut dirasai oleh segenap ahli dan penyokong PAS terutamanya golongan profesional dan seluruh penyokong PR yang masih ‘terkedu’ dengan krisis MB Selangor yang amat terserlah tidak peka keadaan semasa (pemimpin berkenaan) dan penyokong yang sewaktu dengannya…”

Makanya pimpinan yang berkenaan itu bolehlah saja mengatakan bahawa kerosakan itu kecil sahaja berbanding dengan apa yang pernah berlaku kepada PAS dan gerakan Islam yang lain. Tetapi bagi ahli-ahli PAS di peringkat bawah dan bagi penyokong-penyokong, termasuk yang bukan Islam, kesan dan akibatnya tidaklah semudah itu untuk dikesampingkan.

Mengatakannya sebagai kerosakan kecil adalah satu lagi kesilapan yang dibuat oleh pemimpin. Bahkan ia boleh dilihat sebagai satu keangkuhan pula.

Cubalah fikirkan dan bayangkan ini. Saya kini berumur 65 tahun. Sepanjang ingatan saya belum pernah lagi saya menyaksikan orang ramai menyatakan rasa kecewa, marah, benci dan menghina dengan maki-hamun dan mencarut terhadap ulama seperti yang sedang saya saksikan sekarang dan selama beberapa bulan ini. Apakah ini satu kerosakan yang kecil?

Janganlah kita cuba menafikan kerosakan ini dengan membuat kenyataan-kenyataan yang boleh manambah bukukkan lagi keadaan.

Kepada Abu Ahmad dan pembaca lain (termasuk Ustaz Mat Yatim, veteran PAS Melaka yang menelefon saya) yang mengharapkan saya membetulkan “persepsi agar lebih positif terhadap ulama”, ingin saya nyatakan bahawa memang itulah hasrat tulisan saya – untuk mengembalikan ulama PAS kepada kedudukan mulia seperti keadaannya suatu waktu dulu.

Sememangnya ia tidak mudah. Kerosakannya begitu teruk sekali. Bayangkan saya diberitahu oleh sumber yang tak mungkin saya tidak mempercayainya, bahawa seorang ulama kanan di dalam PAS yang turut menganggotai Majlis Syura, sedang berkira-kira untuk masuk Umno.

(Saya memang tidak terkejut dengan berita itu, kerana melihat pada hobi beliau saja pun bukannya hobi murah-murahan. Tidak ramai orang mampu memilikinya. Saya fikir eloklah pun dia buat begitu.)  

Namun kawan saya seorang bekas Adun dari Kelantan, mudah saja menepisnya dengan berkata, “Datuk Asri dulu Presiden PAS. Tapi bila dia keluar parti dan masuk Umno, orang PAS tak ikut dia.”

Betullah, memang betul. Namun untuk mengembalikan kedudukan ulama ke statusnya yang mulia itu, kita memerlukan bukan sahaja usaha gigih, tetapi juga kesediaan untuk berkorban.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)

No comments: