Episod duit haram: Sakit jahil yang tenat
Penerbit filem kerap menggunakan khidmat pak-pak pacak yang disebut ‘extras’ atau pelakon tambahan untuk menggambarkan sesebuah episod yang gah. Filem yang disebut collossal (sangat besar, raksasa) seperti Gandhi memerlukan sekian banyaknya para ‘extras’ ini.
Di sesetengah negara terdapat juga para penunjuk perasaan― para demonstran yang berbayar, sama seperti para hadirin yang khas diupah untuk menghadiri ceramah agung oleh pemimpin besar sesetengah parti politik. Para hadirin berbayar dan profesional ini mendapat ganjaran kos melepas kerana tidak dapat ke ladang, ke laut atau ke bukit pada hari ceramah agung. Mereka ini disangu dengan duit poket, nasi bungkus dan juga baju T yang terpampang potret keramat, sang pemimpin besar. Ya, tentu sekali mereka semua diangkut dengan bas yang disewa khas untuk tujuan itu. Lumayan ― berwisata dengan ganjaran duit saku.
II.
Apabila Pak Cik-Pak Cik dan Mak Cik-Mak Cik, Tok-Tok dan Tok Wan kita sekalian berkumpul untuk memulangkan wang haram bernilai RM 100 yang diberikan oleh Lim Guan Eng, kita boleh saja menggeleng-gelengkan kepala sehingga tercabut kepala daripada leher namun kenyataannya ialah orang-orang Melayu yang sangat lanjut usia@berumur, lelaki dan wanita telah membuat satu keputusan: Duit LGE adalah duit haram.
III.
Aspek haram-halal, benar-salah kerja buat parti pembangkang di Pulau Pinang ini telah banyak dibicarakan oleh para penulis kita. Ada yang menulis dalam bahasa Inggeris kisah “Perjalanan duit not seratus ringgit” . Ada yang berhujah bahawa tak benar jika duit itu dikatakan duit yang haram. Ertinya pelbagai sudut dan sisi telah dihujah dan dikupas oleh para penulis kita.
Bagaimana pula dengan aspek pandangan atau ‘opinion’ para Pak Cik-Mak Cik yang memulangkan duit haram itu? Apakah itu pandangan atau ‘opinion’ sebenar mereka dalam hal ini? Kalaulah mereka itu bukannya ‘extras’ untuk sebuah babak, ini bermakna mereka yakin dan percaya bahawa ― duit itu sememangnyalah haram.
Jika kita amati visual bahasa badan@body language dan pengisytiharan terbuka bahawa, “Mak Cik tak rela makan duit haram!”, rasanya itulah ‘opinion’ mereka yang sebenarnya. Mereka yakin bahawa itu duit yang haram.
Kata S. Abul A’la Maududi dalam “Islam dan Ignorance” edisi ke empat, Islamic Publications Ltd, Lahore, 1991 “Man faces many things in life and with none of them he deal properly unless he forms an opinion about the nature or condition of that thing and his relationship with it” yang maksudnya kira-kira begini: ‘Dalam kehidupan ini manusia menghadapi pelbagai persoalan dan sesungguhnya tidak ada satu pun persoalan yang dapat ditangani dengan baik sehinggalah dia mengerti dan memahami apakah persoalan yang dihadapinya.’ Kata pemikir ulung itu lagi, betul atau salahnya tindakan manusia itu bergantung kepada pandangan atau ‘opinion’ yang dipegangnya itu.
Apakah itu pandangan sebenar Pak Cik-Mak Cik kita di Seberang Perai itu? Atau mereka lakukan semua itu kerana sesungguhnya mereka kurang arif lalu ― diperdayakan oleh orang-orang yang selama ini gemar sekali memperdayakan rakyat untuk kekal berkuasa?
Rasanya ini masalah yang paling besar dan cukup mencabar yang perlu dihadapi oleh PR jika mereka benar-benar mahu memenangi hati nurani di luar bandar. Penyakit ‘ignorance’ atau buta hakikat sebenar atau kejahilan ini mestilah diperangi dengan bersungguh-sungguh jika mereka mahu menguasai sokongan massa luar bandar yang rata-rata adalah Melayu.
Apa pun ― visual, “Mak Cik tak mau makan duit haram” ini ternyata cukup sukar untuk dinyah dari kotak fikiran kita. Demikianlah jahatnya penyakit ‘ignorance’ itu ― sakit yang tenat akibat kejahilan yang melampaui had fikiran yang logik.
Wallahuaklam.
2 comments:
barajiwa,
pasal pulang duit yang dikata haram ni,saya telah baca khutbah di masjid batu pada jumaat 8 oktober lalu, menyentuh tentang anggapan ini, menyebut juga pelakon yang disua skrip, berlakon dengan pengarah tolol.
bagusnya, seorang YB pembangkang hadir sama.
responnya cukup baik.
salam
Tuan,
Terima kasih di atas input. Sama-samalah kita kongsi maklumatnya bersama teman-teman yang lain.
Kassim Muhamad.
Post a Comment