Friday, November 19, 2010

Kata Tuan Zin, media siber suka maki hamun...


Reaksi terhadap “Adab jadi biadap dalam Internet” Zin Mahmud


Sebuah tulisan bertajuk “Adab jadi biadab dalam Internet” oleh Zin Mahmud yang dipos Pak Tam, Detikdaily pada pagi Khamis, 18 November 2010,  menarik perhatian saya.


Pati/sari atau gistnya tulisan Tuan Zin ini berkisar sekitar ‘rasa menyampah’nya terhadap segala maki hamun dan segala istilah lain yang sebangsa dengannya, yang pada pandangan Tuan Zin, sudah menjadi mainan orang-orang yang rapat dengan media siber.  Ini tidaklah luar biasa kerana mereka ini, kata Tuan Zin Mahmud lagi, tidak profesional dan tidak terlatih, tidak pula mendapat khidmat suntingan dan latihan para wartawan profesional, ― jadi tidaklah pandai mereka itu berhujah, tidak pula terdaya hadir dengan pandangan yang bernas lagi baik-baik ― kecuali memaki hamun.          

Sebelum kita teliti hujah-hujah utamanya Tuan Zin Mahmud ini, kita ingin menarik perhatian para pembaca blog ini bahawa kalau tidak salah ingatan ― ungkapan ‘suka maki hamun dan segala istilah lain yang sebangsa dengannya’ (setelah ini sumahasi) itu sangatlah popular dalam kalangan musuh-musuh politiknya Pas.  Hatta ke mana saja mereka pergi, label yang popular ialah Pas itu parti sumahasi. 

Ramai juga penduduk kampung saya yang tidak membaca Harakah, Suara Keadilan (al-marhum), Roket ― tetapi menjadi penonton setia media milik ‘Mesin Politik’, berlanggan atau meminjam-baca media cetak milik ‘Mesin Politik’ DAN tidak pula berupaya berfikir,  percaya bahawa Pas itu sesungguhnya begitu.

Maka apabila seorang mantan orang besar negara ini, berkata bahawa Tok Guru Nik Aziz bersalah dalam isu ‘Tuhan samseng’, setiap hari dan pada waktu-waktu yang dikira strategik/prime-time,  klip videonya ditayangkan berulang-ulang kali kepada rakyat jelata.

Cara-kaedah suntingan dan persembahannya yang telah digunakan dalam isu ‘Tuhan samseng’ itu hampir-hampir sama dengan isu banjir Negeri Kedah yang begitu galak dimainkan oleh media milik ‘Mesin Politik’ ke belakangan ini.        

Agaknya Tuan Zin Mahmud tidak begitu ingat, sama seperti tidak ingatnya mantan seorang besar negara ini,  dalam kes kehakiman ‘Correct, Correct...’ yang tersohor itu.

Maka apabila Tuan Zin berhujah bahawa:
 
“Cuba bayangkan, dari kecil dididik dalam keluarga dan masyarakat Melayu yang bersopan dan mengelak daripada menggunakan kata-kata kesat, serta dibesarkan dengan akhbar yang berbahasa tertib, tetapi kini tiba-tiba terasa seolah-olah hidup dalam zaman biadab.”

Kita agak terkejut.  Kita hingin bertanyakan Tuan Zin Mahmud, “Are you real” atau Tuan Zin hanya ingin bersenda gurau alias berjenaka?

Apakah Tuan Zin terlepas pandang bahawa Sodomi I dan Sodomi 2 itu sangat memalukan seluruh ibu bapa Melayu?  Atau Tuan juga setuju dengan segala kerja ‘Mesin Politik’ dan segala jenteranya dalam episod ini?  

Pada pandangan Tuan Zin,  yang manakah yang lebih ‘mencelakakan’ anak-anak kita?  Sampah sarap dan segala muntah jin dan setan oleh media siber atau pun hamburan fitnah media miliknya ‘Mesin Politik’? (Tuan Zin, para ini juga diklaskan sebagai maki hamun?)  

Atau mungkin, Tuan Zin Mahmud berada di cakrawala lain ketika media milik ‘Mesin Politik’ berpesta pora dengannya?

Itu belum lagi segala tindakan ‘Mesin Politik’ dalam hal-hal bahasa, agama, undang-undang, ketenteraman awam, kepolisian... alahai betapa panjangnya senarai itu,  wahai Tuan.


ii


Baik juga Tuan Zin Mahmud memperingatkan kita tentang telatah para pengamal media siber, baik orang-orang tua maupun anak-anak muda yang katanya begitu gemar sekali bersumahasi sehingga beliau berpendapat mereka tak ada kelas dan memualkan. 

Baguslah begitu ― sesungguhnya memanglah wajar sekali manusia itu saling ingat memperingati kerana katanya, manusia itu ternyata mudah sekali dihinggapi penyakit lupa.  Itulah pandangan mantan seorang pemimpin besar negara ini.  Bukankah begitu?

Jadi kalau-kalau Tuan Zin terlupa, mana perginya suara Tuan Zin dan teman Tuan sekalian tatkala ‘Mesin Politik’ berpesta kepala lembu, duit haram LGE, hantu 13 Mei, bangkit Melayu, Melayu hilang kuasa, menara 100 tingkat, hab hiburan yang mendatangkan laba, bajet seluar dalam, serangan dan rompakan sebuah DUN, Islam Hadhari...? 

Sekarang ini, apakah Tuan Zin tidak ingin membuktikan tanpa sebarang keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt) memang benar bahawa rakyat memang didahulukan?  Bajet seluar, Projek Permata Negara? Hab hiburan? ETP? 

Mohon, Tuan Zin hujahkan satu kes yang cukup meyakinkan,  untuk kita teliti.


iii.


Anak-anak kita yang membesar di negara ini menjadi celaru (confused) dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.  Mereka melihat pelbagai mesej yang bersimpang siur ― mesej yang dipenuhi dengan pelbagai kemunafikan/hipokrisi:

 “Jangan merokok diungkapkan dengan penuh perasaan dan berjuta-juta kali oleh bapa kaki perokok”.  Stesen tv sibuk menjerit-jerit bahawa bahasa kebangsaan itu berdaulat tapi para pemimpin seolah-olah tidak sedar bahawa tingkah mereka dalam berbahasa sering diperhatikan rakyat.   Perangai ketam yang tidak pernah munafik ini boleh kita senaraikan.        

Sedih tapi benar, kita yang tua-tua tidak pernah didewasakan  ― sementara anak-anak kita pula membesar dan dibesarkan dalam kemunafikan yang tepu.

Maka apabila anak-anak muda dan juga orang-orang tua siber menjadi kasar, kurang ajar dan marah-marah... Tuan Zin Mahmud menjadi muak lalu muntah-muntah.


iv


Kita ada satu saranan kepada Tuan Zin Mahmud:

Berbisiklah kepada ‘Mesin Politik’ supaya para pemimpin yang tak bersama kelompok mesin ini diberikan kesempatan untuk berbicara tentang segala tajuk setiap minggu.  Berikah mereka masa (tiga minit pun tak apalah) untuk mereka berkata dengan bebas, merdeka dan jujur tentang masalah yang kita ― rakyat jelata ini hadapi.

Dengarlah kata-kata mereka. Perhatikan apakah mereka ini akan memaki hamun, mencarut, bersumpah seranah dan berkurang ajar di depan kaca tv.  Kalaulah mereka ini sememangnya jenis yang suka memaki hamun, kita pasti mereka akan memaki hamun.  Bukankah mereka ini gemar sekali memaki hamun? 

Ya, kita dengarlah dulu apa kata mereka,  nantinya.

Bolehkah Tuan Zin membantu ― Tuan tolonglah bisikkan ke telinganya ‘Mesin Politik’ itu?

___________________________________________________________________

Petikan kata-kata Tuan Zin Mahmud:

“Keadaan ini berlaku kerana banyak orang ramai yang menulis tidak dapat mengungkap pemikiran dan perasaannya. Apabila mereka tidak berupaya mengemukakan hujahnya secara jelas dan teratur, maka apa yang dilakukan hanyalah memaki hamun.”

“...maka mulalah orang awam disuap dengan tulisan dan komen-komen yang hanya berisi dengan maki hamun dan sumpah seranah, memberi gelaran buruk, mencarut dan menggunakan kata-kata kesat.”

“Cuba bayangkan, dari kecil dididik dalam keluarga dan masyarakat Melayu yang bersopan dan mengelak daripada menggunakan kata-kata kesat, serta dibesarkan dengan akhbar yang berbahasa tertib, tetapi kini tiba-tiba terasa seolah-olah hidup dalam zaman biadab.”




No comments: