Sunday, November 28, 2010

Siri sajak 'Kampung Warisan'

DINSMAN

Tujuh Kampung di Pinggir Bandaraya
(dedikasi untuk Cikgu Ishak Surin)

Tujuh buah kampung di pinggir bandaraya
Apa salahnya? Ya apa salahnya – orang-orang di tujuh
buah kampung di pinggir bandaraya. Bandaraya yang bermegah
dengan konon status hebat menara berkembar paling tinggi di dunia
untuk beberapa hari cuma. Sudah dirampas oleh bandaraya dunia yang
lain. Tapi Kuala Lumpur masih bodoh bermegah. Mahu membesar lagi
mahu membangun lagi, mahu meninggi lagi. Bikin 100 tingkat kali ini
Kalau ada kampung yang masih ada tanah – mari, ambil tanahnya
kita bangunkan. Kita bikin pembangunan kita bikin untung berjuta
Orang-orang kampung itu apa dipedulikan sangat. Kita bagi
sedikit pampasan. Kita bagi sedikit ancaman
Ha diamlah mereka

Oh ho oh ho. Oh ho oh ho

Tujuh buah kampung di pinggir bandaraya
Apa salahnya? Siapa bertanya? Kita bertanya
Tujuh buah kampung sudah berkurun lamanya, orang-orang
hidup rukun damai di sini bernikah beranak bercucu bercicit
turun temurun berkampung laman di sini – apa salahnya? Rakyat
biasa mereka, bukan orang jahat, bukan pencuri bukan perogol
bukan pembunuh. Yang meletupkan perempuan dari Mongolia itu
bukan orang kampung sini, ya! Itu orang lain. Bukan dari kampung
yang tujuh ini. Maaf ya! Di sini mereka tinggal rukun damai turun
temurun sudah berkurun, dan baru-baru ini mereka menyambut 150
tahun, Dirgahayu Kampung Bandar Dalam! Sudah 150 tahun usianya
Apakah kampung ini masih mundur? maka kampung ini perlu dibangunkan dimajukan dimodenkan diapa-apakan lagi?

Oh ho oh ho. Oh ho oh ho

Tujuh buah kampung di pinggir bandaraya
Apa salahnya? Hanya tinggal tujuh buah kampung ini
sahaja lagi. Yang lain-lain puluhan ratusan kampung-kampung
sudah hilang lenyap – hilang lenyap bersama identiti atau pengenalan warisan tamadun Melayu itu. Atau apakah kita hari ini tidak mahu berbangga langsung dengan Warisan Tamadun Melayu?

Oh ho oh ho. Oh ho oh ho

Warisan Tamadun Melayu. Bukan untuk perkauman
Itu jauh sekali. Jangan silap! Tapi untuk mengenal diri, untuk
mengenal asal diri – supaya hidup tidak sesat, tidak kehilangan
kompas, teraba-raba mencari kekuatan lalu hunus keris di sana hunus
keris di sini. Bukan begitu menunjukkan kekuatan. Kita perlu mengenal asal usul diri terlebih dulu. Di situ ada kekuatan. Di situ ada
keyakinan diri. Supaya kita tahu diri. Maka tak perlulah menipu
sana sini, rampas hak rakyat sana sini, rasuah sana sini hingga bumbung masjid pun runtuh, stadium yang baru dibina pun runtuh. Haa – betul! Semua orang tahu

sebab itu Kampung Warisan ini penting, untuk jatidiri, kita
sebagai rakyat Malaysia. Haa – tidak ada percanggahan dengan
Islam. Kita mengenal jatidiri kita. Ini fitrah manusia

Tujuh buah kampung di pinggir bandaraya
Apa salahnya? Kampung bukan sebarang kampung
ini kampung warisan Melayu. Kita pertahankan. Kita kekalkan
warisan kita. Kebanggaan kita. Siapa kata kita tak maju?
Yang maju itu bukan bangunan tinggi. Yang maju itu bukan
hypermarket besar, buka niteclub bertaraf dunia, bukan
infrastruktur mega yang berselirat dengan rasuah
dengan jenayah dengan akhlak rosak

oh ho oh ho. Oh ho oh ho

Yang maju itu ialah manusia! Tidak ada guna infrastruktur
kelas dunia kalau manusianya masih seperti zaman jahiliyah
(Buang bayi itu ‘kan cerita zaman jahiliyah tu!) Makanya
yang penting sekarang – manusianya mesti maju
Bukan tanahnya yang mesti dimajukan, tapi manusia
Infrastruktur dalaman diri manusia itu
biar bertaraf dunia dan akhirat

Oh ho oh ho. Oh ho oh ho


13 Zulhijah 1431
Rawang, Selangor.



No comments: