Saturday, November 27, 2010

Watak:


Watak,  dalam dan luar karya

Orang itu merenungnya,  tajam-tajam.  Sepanjang pertemuan mereka lebih satu jam, otot-otot muka orang itu tidak sedikit pun kendur.  Meon bimbang juga kalau-kalau otot-otot muka itu praakkk,   putus terburai. Bayangkan muka yang ketat,  dua ratus persen itu terkulai, terburai lalu tertiarap di depannya!

 “Kita telah menyemak profil dan segala pengalaman saudara...”  orang itu berbicara, akhirnya. 

Meon tidak begitu gemar bila orang itu menyebut-nyebut ‘segala pengalaman saudara’ kerana di sanalah jerumunnya pelbagai tikungan lorong kehidupannya tatkala belajar di luar tanah airnya.  Rupa-rupanya sisi-sisi yang gelap lagi sulit kehidupan peribadi ternyata lebih menarik ― ada objek-objek tersorok yang boleh diangkat, diteliti untuk dijadikan umpan pemudah kerja.  Bukankan peras dan ugut itu sebahagian daripada prosedur operasi standard mesin dan segala perkakasnya?  

Apakah mereka tahu menahu rinci kisahnya mempelajari pelbagai ilmu pernujuman ‘bermaqam tinggi’ yang pelik-pelik tapi ekslusif, yang pelik-tapi-berbaloi seperti ilmu siluman dan silap mata, di Bondohlah University sehinggakan dia meraih ijazah itu diploma ini, gelar itu dan gelar ini?  

Ini adalah  pengalaman yang mahu dipadamnya dari layar ‘nurani’nya buat selama-lamanya.  Meon mahu melupakannya. Dia mahu seperti bayi yang baru dilahirkan; cerah dan bersih. 

Tentunya orang ini tidak berminat mengetahui bahawa dia sering berbasikal di seluruh kampus sehingga ke dini hari, memerhatikan pasangan arnab liar berkejaran di celah-celah rimbunan pepohon renek di tepi jalan atau menatap itik-itik liar menginduki anak-anaknya yang baru seminggu menetas.   Bukanlah daerah itu yang diminati orang ini.

“Kita mahu saudara cipta watak yang berbagai-bagai ragam latarnya.”  Meon menarik nafas lega mendengar penjelasan itu.   

“Boleh saya tahu untuk...”

“Sebagai pengunjung pelbagai blog yang tidak begitu mesra dengan kita.”

“Sasaran utama kita,  meruntuhkan Pakatan Penentang Mesin”

ii.

Hari ini Meon adalah Carlail, Kusno, Misterball, Johan, Aku Rakyat dan beberapa watak lain yang masing-masing memiliki profilnya yang tersendiri.  Ada yang bebas, moden dan liberal (entah apakah erti dan maknanya istilah-istilah itu,  Meon pun tidak begitu memahaminya, tapi yang jelas label-label ini katanya,  membawa konotasi positif).  Yang selalu menjadi sasaran cemuhan para pembaca lain adalah si fanatik dan penyokong kental Mesin. 

Ada lagi arahan yang mesti dipenuhi Meon:  Tugas kamu yang paling utama di sini ialah terus menerus mencerca Ketua Penentang Mesin.  Kaitkan segala keburukan yang wujud di alam ini dengan orang ini.  Hancurkan apa saja yang boleh menghancurkan watak dan perwatakannya.

“Kamu dibayar untuk memenuhi tugas itu.”  Itulah pesanan yang diulang, ulang-ulangi oleh orang itu.

Hari ini,  Meon adalah penembak siber ― pemburu upahan yang setia memburu musuh-musuhnya Mesin.




No comments: