SKT Ahli
Parlimen
Setiap awal
tahun para penjawat awam dikehendaki menyediakan SKT, Sasaran Kerja Tahunan ― biasanya lima tugasan utama ― yang akan dilaksanakan dalam tempoh satu
tahun untuk dibincang dan dipersetujui dengan ketua Jabatan masing-masing. Inilah
perjanjian bersama, di awal tahun yang
bertujuan mengukur dan menilai prestasi pada akhir tahun nanti.
Jika kaedah, maksud
dan semangat yang sama kita gunakan untuk mengukur, menilai dan melaporkan
prestasi Ahli-Ahli Parlimen (MP) kita, apakah sasaran kerja utama Ahli Parlimen
kawasan saudara yang akan saudara senaraikan? Sebelum itu, pada tanggapan saudara apakah sebenarnya
tugas utama seorang AP itu?
Umumnya dalam
masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi masyarakat luar bandar, seorang MP itu
biasanya dilihat sebagai seorang ‘tukang’ ― seorang ‘tukang’ yang akan memastikan agar
parit dan longkang tidak tersumbat, sampah diangkut dengan sempurna, air untuk sawah
padi mencukupi, jalan yang berlubang ditar semula. Untuk lebih tip-top lagi, seorang MP itu mestilah tunjukkan batang
hidungnya apabila Pak Su kematian isteri atau pun Mak Ngah mengadakah kenduri
kawan anaknya. Dan apabila datang,
hulurlah sehelai dua not sebagai tanda ingatan.
Sekiranya MP Pak Ngah dan Mak Cik itu berbuat demikian, dia adalah
seorang MP yang top. Lain kali bolehlah
diundi lagi. Katanya, Man Bedul Pendang sukar dikalahkan kerana Man
Bedul itu berada di mana saja di Pendang.
Oleh itu isu-isu besar tentang good governance@tatakelola yang baik seperti
AES, komisen kapal selam, Altantuya atau pun Deepak tidak akan lut. Pak Ngah dan Mak Su tak akan ambil pot.
2.
Bagaimanakah saya
melihat seorang MP itu? Apabila MP saya Johari
Abdul (PKR, Sungai Petani) diberikan tugas untuk bergerak ke merata negeri
dalam siri jelajah Black 505, bagi saya MP saya ini telahpun mendapat markah
penuh untuk sasaran kerja pertamanya.
Ertinya saya berikan markah penuh (20%) kerana beliau telah berkerja
keras melawan sistem pilihan raya yang pincang dan penuh penipuan itu. Bukankah demokrasi itu bermula dengan proses
pilihan raya? Dan untuk mengadakan pilihan
raya yang telus, adil dan saksama, segala proses pilihan rayanya mestilah
sempurna; bermula dari daftar pengundi sehinggalah ke proses pengiraan undinya.
Saya begitu gembira kerana Johari Abdul
telah bersungguh-sungguh berperang dengan SPR.
MP saya tidak hanya bercakap tentang melihat ke masa depan atau
takdir. Dia melawan penipuan dengan segala
daya upayanya.
Parlimen itu
rumah keramat tempat segala khazanah negara kita yang amat terhad dan semakin
menyusut itu dibincang, hujah, didebatkan dan diluluskan. Di sanalah dibincangnya perihal duit ringgit
yang bakal diperolehi, diHUTANGI dan dibelanjakan. Jika ada unsur-unsur yang tidak kena seperti
pemborosan yang dikenalpasti, seorang MP itu akan menyoal, berhujah dan
mengherdik kerajaan. Untuk itu seorang
MP yang baik akan menyediakan senarai soalan untuk dijawab oleh pihak kerajaan. Ertinya dia membuat kerja rumahnya dengan
teliti sebelum menjejakkan kakinya ke Dewan Rakyat.
Parlimen itu
rumah hukum yang meluluskan undang-undang yang bakal dihempap ke atas kepala
rakyat termasuk MP dan juga anak pinak dan bininya. Oleh kerana itu, MP yang kita hantar ke Dewan
Rakyat mestilah berdebat, berhujah dan mengundi undang-undang yang dikemukakan
oleh pihak kerajaan. Ertinya, seorang MP itu bertanggungjawab terhadap
rakyat dan satu hari nanti ―di hadapan Tuhannya ― dia bakal
disoal tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Seorang MP bakal disoal jika dia leka dan lalai sehingga membiarkan ‘undang-undang’
yang jelek itu menjadi undang-undang negara.
Sekiranya anak, cucu dan cicitnya melihat Hansard Dewan, mereka akan tahu
bahawa datuk atau nyangnya mereka dulu telah bermatian-matian berperang menentang
undang-undang yang tidak menyebelahi rakyat!
3.
Seorang MP itu
bukan sekadar seorang pemetik kata-kata pujangga yang muluk-muluk untuk direkod,
dihayati dan diulang-ulangi oleh para peminatnya. Seorang MP itu adalah pemberi contoh ulung yang
berkesan. Orang awam ― baik di mana saja mereka berada ― memahami apa itu sosoknya seorang
TGNA. Bagi saya, TGNA hebat bukan semata-mata
kerana cakap-cakap Islamnya.
Siang tadi
semasa pulang dari pejabat Exco di Shah Alam setelah membincangkan hal-hal
budaya, teman saya Dinsman mengulangi lagi contoh pengalaman yang pernah diceritakan
oleh Dr Abu Hassan Hasbullah, Universiti Malaysia Kelantan semasa berada di Viena,
Austria. Jaketnya yang tertinggal tidak
diusik orang. Malah hotel tempat beliau
menginap bersiap-siap untuk menghantarkan jaket tersebut ke Malaysia. Kata
Dinsman, “Di sana stesen-stesen radionay, stesen-stesen tvnya tak pernah riuh
rendah bersyarah tentang kesyumulan agama Islam, hukum hakam dan
nas-nasnya. Walaupun mereka itu adalah
orang-orang bukan Islam tapi nilai-nilai Islamnya tepu dan kaya di sana. Kenapalah begitu? Apakah yang telah terjadi dengan syarah-syarah
Islam syumul kita itu?”
Saya yakin kita
amat miskin TGNA. Kita hanya kaya syarah-syarah
Islam syumul.
No comments:
Post a Comment