Tuesday, June 25, 2013

MASA BERTINDAK TEGAS DI PERINGKAT SERANTAU



Kenyataan Media MAPIM
24hb Jun 2013


MASA UNTUK BERTINDAK TEGAS DI PERINGKAT SERANTAU SANGAT DIPERLUKAN.


Mapim menegaskan sudah sampainya persoalan jerebu akibat pembakaran terbuka diambil tindakan tegas bukan sahaja mengikut undang-undang nasional tetapi juga di peringkat undang-undang antarabangsa.

Kerajaan semua rantau Asean perlu memahami jika isu rasuah dan salahguna kuasa tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada kerosakan alam sekitar.

Keadaan yang sangat meruncing yang menjejaskan kualiti udara sehingga ketahap sangat merbahaya di Lendang, Muar dan KL dan merebak ke PD dan Klang,  membuktikan bahawa isu pencemaran udara bukan suatu isu yang boleh dianggap ringan.

Bukan sahaja ia ada kaitan dengan soal kesihatan akan tetapi juga persoalan keselamatan dan ekonomi serta perhubungan antarabangsa.

Mengatasi masalah kerosakan alam sekitar jelas tidak boleh dianggap hanya berlaku secara terpisah antara negara. Pencemaran tidak mengenal sempadan semada pencemaran udara mahupun air.

Mapim melihat isu jerebu yang melanda Malaysia dan Singapore yang berpunca dari pembakaran terbuka di Indonesia membuktikan alam sekitar tidak punya batas.

Keghairahan pelabur dalam dan luar negara terhadap sesuatu sektor di dalam sesebuah negara biasanya mengambil kesempatan dari kelonggaran undang-undang dan kawalan di negara tersebut.  Bila pelabur mendapat kemudahan yang terbuka untuk melakukan sesuatu yang boleh meminimakan tanggungan kos, semada kos buruh, kos penghapusan sisa atau kos pembersihan tanah, jalan singkat dan murah akan dipilih.

Inilah yang berlaku di kebanyakan negara membangun. Oleh kerana satu negara mempunyai kelonggaran dari segi penguatkuasaan undang-undang  maka pihak pelabur akan mengambil kesempatan.

Kami dengan itu menggesa agar pihak kerajaan memberi perhatian serius untuk mengujudkan undang-undang yang berkesan di dalam negara dan sekaligus memastikan agar undang-undang antarabangsa dipatuhi.

Jelas soal kerosakan alam sekitar terutama yang bersifat trans-sempadan akan memerlukan suatu perjanjian yang mengikat supaya pihak pelabur tidak memandang ringan terhadap hukuman yang mereka akan hadapi jika melanggar undang-undang negara mahupun undang-undang antarabangsa.

Oleh kerana itu kerjasama antara negara menjadi prasyarat jika isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar mahu ditangani.

Mapim mengesa semua negara Asean yang telah mendatangani perjanjian  mengenai pencemaran trans-sempadan menggubal perjanjian yang lebih mengikat dan berkesan.

Jerebu akibat pembakaran hutan untuk pembersihan di Indonesia tidak akan reda kecuali Indonesia atas nama menjaga perhubungan dengan jiran tetangganya, mengujudkan undang undang tempatan yang ketat dan penguatkuasaan yang tegas.

Mapim mengingat semua pihak di kalangan pemimpin kerajaan agar berlaku telus apabila menangani isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar.  Semangat untuk melaksanakan strategi yang berkesan berdasarkan perjanjian yang dimeterai mengenai pencemaran udara sekurang dalam rantau ini perlu dipenuhi.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Mapim


No comments: