Anak emas, (dan jembalang) namanya “Pembangunan”
Seorang teman memberitahu begini: “Aku tak tahu perasaanmu. Tapi aku resah setiap kali berdepan dengannya.”
“Tak faham”
“Aku bimbang, takut dan semakin terasing” dia menjelaskan.
Diceritanya tentang wajah-wajah asing yang sedemikian ramai memenuhi segala macam tempat dia berkunjung atau berurusan ― stesen kereta api, stesen bas, pasar raya, jalan-jalan utama, stesen minyak. Malah di mana saja, bilangan warga asing itu semakin meningkat bilangannya. Entah dari mana mereka ini datang, dia juga tidak ketahui. Yang jelas dia betul-betul dikelilingi oleh tampang-tampang yang begitu asing ini.
Di antara senarai soalan yang menerjah: Siapakah mereka, apakah urusan mereka berada di sini, kenapakah mereka di sini, bagaimanakah mereka memasuki negara ini? Apakah yang bakal terjadi tatkala bilangan mereka ini semakin ramai sehinggakan... Siapakah mereka? Di manakah mereka tinggal?
Kitaran soalan itu terus menerkam.
Teman ini menceritakan bagaimana taman-taman perumahan di sekitar kawasannya sudahpun berpagar dan berkawal. Dia mengeluh, taman-taman perumahan kini menjadi kem-kem para penghuni yang tidak lagi terdaya menerima tetamunya dengan bebas. Tetamu tidak lagi dibenarkan masuk-keluar begitu saja.
Ya, siapa saja yang keluar-masuk mestilah dikawal. Para pengunjung bakal dikawal keluar-masuknya oleh perkhidmatan keselamatan (yang dibayar oleh entah siapa ― para penghuninya?) kerana taman-taman perumahan sudah tidak selamat lagi untuk dibiarkan terbuka kepada siapa saja. Penghuni taman semakin takut kalau-kalau rumah dirompak dan lebih buruk, jika mereka diapa-apakan.
Taman-taman perumahan tidak lagi selamat kerana pelbagai sebab.
Apakah kita ketahui sebab musababnya?
ii.
Cikgu Ishak Surin dalam ucapannya tatkala merasmikan Malam Seniman dan Budayawan mempertahankan Kampung Warisan pada awal Muharram 1432, menceritakan pengalaman bagaimana para penduduk 7 buah Kampung Warisan itu, pada 29 November 2010 lalu telah diurus dalam taklimat DBKL berhubung masa depan Kampung Warisan ini.
Ya, mereka telah diurus oleh Juruperunding yang dilantik.
Nampaknya era segala maslahah rakyat, nasib dan masa depan mereka, diurus oleh JuruPerunding yang disewa khas untuk mengurus masalah rakyat sudahpun bermula.
Nampaknya kerja-kerja sub-kontrak seperti memperjuangkan “ketuanan Melayu” dan ‘perkhidmatan menyewa penunjuk perasaan” adalah di antara bidang kerja terbaru program “Pembangunan Modal Insan” yang terbuka luas dalam pasaran di negara ini.
Nampaklah bagaimana kini, kita semakin cekap membeli belah perkhidmatan. Oleh hal demikian, janganlah kita terkejut jika satu hari nanti, segala masalah kita sebagai rakyat jelata juga bakal diurus oleh Juruperundingnya ― Juruperundingnya wakil-wakil rakyat kita.
iii.
Apakah tidak tepat, jika kita katakan bahawa:
Kita perlu membayar kos sosial yang sangat mahal ini kerana kekemarukan kita mencipta kepalsuan,
Nafsu kemaruk yang melampaui segala batas-sempadan fikiran waras supaya kita segera membangun itu, telah mencekik segala aspek kehidupan kita,
Kita sedang berurusan dengan anak emas, namanya ‘Pembangunan.’
Sebagai anak kesayangan sang bapa, kita TIDAK boleh sama sekali menjentik “Pembangunan” walaupun kita tahu bagaimana si anak tersalah didik itu telahpun rosak. Ia liar menjembalangi kehidupan kita.
Masihkah waras kita ― sebagai seorang bapa, penternak ‘Pembangunan’?
Waraskah mereka yang memimpin negara ini?
No comments:
Post a Comment