Friday, December 10, 2010

Lembaga berkeliaran

Memerangi nilai yang telah dilembagakan


Kata orang gelagat kita sebagai manusia yang dianugerahi status Khalifah di bumi, sentiasa saja berpandukan nilai-nilai yang telah tertanam dan sekian lama pula mendap,  sebelum mengakar di dalam diri. 

Dalam konteks arah dan laluan ini, orang selalu memberikan analogi kapal di lautan,  belayar menempuh gelora dan badai, berpandukan kompas sementara kereta api pula bergerak mengikut rel yang tertancap oleh pereka-jurubinanya.  

Nilai yang ditanam oleh ibu bapa ditambah dengan pelbagai pengaruh persekitaran, pergaulan, didikan dan roh agama adalah di antara komponen penting pengalaman batin yang menjadi kompas buat manusia.  Maknanya nilai yang dipegang seseorang manusia itulah yang menentukan sikap, tindakan dan tingkah laku seseorang manusia itu dalam kehidupan ini.

Apakah betul pemerhatian ini atau ada yang lebih penting yang tertinggal?


ii.

Leteran empat perenggan di atas, membawa kita kepada persoalan yang mahu dibentangkan untuk renungan ― kalau mungkin diteliti, dihayati dan dimanfaatkan bersama.

“Orang-orang Parti Pusaka Pribumi (setelah ini: Parti) marah kepada pemimpin-pemimpin seperti KT ― yang baru saja diseret oleh Agen Urus Rasuah Negara (setelah ini: Agen) itu bukanlah kerana dia itu seorang perasuah.  Bukan itu yang menjadi  punca kemarahan para pengikutnya Parti.  Para pengikut dan penyokong Parti sangat marah kerana sebab lain.  Mereka marah kerana hak mereka tidak dihulur sampai ke bawah.” 

Dalam kalangan Parti, sudah menjadi semacam ‘nilai’ yang mereka ketahui, persetujui dan terimapakai bahawa siapa saja di atas sana ― sudah ada rezeki@bahagian dan tompok tertentu untuknya.  Oleh itu ― yang di atas ini, bolehlah makan dan raup sebanyak-banyaknya dan sekenyang-kenyangnya kerana itu bahagian@haknya sebagai yang di atas sana. 

Ini bermakna jika ada tanah Kerajaan Negeri seluas 100 ribu hektar untuk dibedak-bedak, diagih-agihkan atau difaraidkan,  dia bolehlah lantak sebanyak-banyaknya tapi janganlah sampai dia lupa kepada kami ‘nangoi-nangoi’@ orang-orang di bawah di bahagian, cawangan yang juga sedang nganga untuk disuap. “


iii.

‘Nilai’ seperti ini sudah menjadi sebahagian daripada kepercayaan yang ― dikira normal ― maka oleh sebab itu berleluasa. 


Soalanya sekarang: Bagaimana mahu dikikis sesuatu yang telah melembaga seperti ini?   Apakah yang telah terjadi kepada kita (sebagai satu bangsa, baca: ummah) sehinggakan kita tersasar sebegitu jauh?

What has really gone wrong?
    
Hitam itu putih ― dan kita pun cukup nyaman dengannya.



No comments: