Runtuhnya benteng kebolehpercayaan
Felda telah menghimpunkan orang-orang Melayu miskin-tidak-bertanah untuk diubah nasib dan masa depannya dengan agihan tanah subur di hutan belantara untuk diterokai, dijerihpayahi dan dipetik hasilnya.
Felda― sebuah nama besar, sebuah percubaan dalam dunia kejuruteraan sosial, lahir dari pemikiran pemimpin masa lalu yang kental iltizamnya mahu perbaiki kehidupan orang-orang Melayu miskin di seluruh pelosok tanah air kita, kini menjadi rebutan pelbagai pihak.
Di Felda, benih-benih tanaman komersial ― getah dan kelapa sawit tumbuhbesar di pelbagai ceruk rantau gugusan dan dari rahimnya lahir dan tertuainya hasil mahsyul negara ini― kelapa sawit dan getah.
Di gugusan-gugusan yang bertaburan inilah, sekian lamanya pemerintah mengutip ‘simpanan tetapnya’: Undi penghuninya.
ii.
Istilah-istilah seperti lubuk, kubu atau ‘simpanan tetap’ yang digunakan oleh pelbagai pihak termasuk pihak pemerintah sendiri, menggambarkan tahap keyakinan parti-parti politik pemerintah terhadap sokongan yang bakal diterimanya.
Dalam konteks ini, negeri-negeri Johor, Melaka, Sabah, Sarawak dan gugusan Felda misalnya adalah di antara kubu/simpanan tetapnya Umno/BN. Benar, itu sejarah lalu ― zaman sebelum PRU12, era Umno/BN tidak begitu bermasalah untuk mendapat mandat rakyat jelata.
iii.
Pemerintah yang sekian lama diberikan mandat dan amanah untuk mentadbir negara ini telah mengambil mudah, masa yang penuh dengan nikmat itu. Perlahan-lahan tapi pasti, pemerintah itu berubah dan ― perubahannya termasuklah gaya, tabiat dan tingkah buruknya sebagai pemerintah.
Dan seluruh tanah air, tanpa kecuali termasuklah Felda, telah menerima bahana budaya kepimpinan yang begitu lama sekali mengakar dan membudaya dalam kehidupan kita selama ini.
Masa juga telah mengubah segala-galanya dan pemerintah yang terlanjur dan tersasul itu akhirnya terkejut bahawa cara dan gaya lama yang begitu memudharatkan seluruh negara, tanpa kecuali tentunya termasuk Felda, tidak boleh diteruskan lagi.
iv.
Seperti biasa sebarang kebangkitan yang memudharatkan pemerintah akan dibendung, dihalangi dan dikawal. Felda, sama seperti institusi awam yang lain, perlu dikawal dengan pelbagai kaedah dan mekanisme yang wujud dalam sktuktur ‘pentadbiran’ pemerintah.
Namun pendedahan demi pendedahan, maklumat demi maklumat yang kemudiannya disusuli pula dengan kelahiran ANAK dan BAPAK, menunjukkan betapa senario di gugusan-gugusan itu telah benar-benar berubah.
v.
Seperti biasa, segala khazanah yang sekian lama tersorok dalam rumah perbendaharaan kata perlulah diselongkar. Kata-kata yang memiliki impak maksima itu mestilah diselongkar untuk dicanang.
Di celah-celah sesawang yang menjulingkan kewarasan itu, mereka temui kata keramat itu:
PENDERHAKA!
Pada hal, apa yang paling diperlukan rakyat adalah laporan yang BOLEH dipercayai rakyat.
Apakah laporan seumpama ini masih wujud setelah benteng bernama ‘credibility’ (kebolehpercayaan) itu ― telah lama runtuh?
Sementara itu, marilah kita dengar pekik jerit itu...
PENDERHAKA! PENDERHAKA! PENDERHAKA!
Bukan main lagi nyaringnya gema itu.
__________________________________________________________________
(Bukankah ‘PENDERHAKA’ itu merujuk perbuatan si dan sang pengkhianat ― perbuatan yang sangat serius seperti menjual/mengkhianati/mendedahkan/menggadai negara kita kepada kuasa asing/ancaman luar? Siapakah sang penderhaka itu sebenarnya? Siapakah yang paling mudah diugut oleh ancaman luar itu?)
2 comments:
bukan BAPA tetapi BAPAK...kah kah kah
Maaf, salah. Dan terima kasih kerana membetulkan. Insyallah kita betulkan.
Jangan lupa mari kita sama-sama berKAH, KAH..KAH...
Kassim Muhamad.
Post a Comment