Menantu baru Lurah Khalid; Khusriah namanya
Apalah sialnya nasib Pak Lurah Khalid, tiba-tiba saja anaknya yang satu-satu itu dipaksakan adat Lembah Birahi supaya segera berkahwin dengan Khusriah yang terkenal sebagai kaki kelentong, kaki ampu, alat dan pecacainya Demang Besar Daun.
(Telah menjadi adat dan peraturan Lembah Birahi, para menantu Pak Lurah mestilah dipilih oleh Demang Besar Daun dan ― oleh sebab itu, suka tak suka mau tak mau, Pak-Pak Lurah mestilah menerima pilihan Demang yang besar daun terupnya itu.)
Sejak sekian lama, semua amat maklum bahawa Khusriah ini memanglah orang kesayangannya Demang dan sebagai pecacai yang dipelihara ― orang suruhan ini sentiasa saja melaporkan apa saja dan segala-galanya tentang Lurah-Lurah yang pernah menjadi bosnya itu, dan ternyata terbukti yang Khusriah tidak pernah sekali pun gagal. Dia sememangnyalah cekap dan layak ― sebagai pecacai tulen.
Lihatlah laporan-laporan berlampirannya perihal sifat segala kentutnya para Lurah ― sangat lengkap dan teratur: Apakah kentutnya Lurah A itu meletup-letup seperti mercun bertih atau apakah angin belakang itu berdesis-desis seperti ular air, atau apakah ia kuat berdengung atau apakah kentut itu perlahan tanpa sebarang rentak ― semuanya dicatat rapi oleh Khusriah.
Khusriah juga bakal merekod apakah kentutnya Lurah B itu jauh lebih busuk atau separuh kebusukannya jika dibandingkan dengan Lurah C ― semua ini lengkap sebagai bahan laporan Khusriah kepada Demang Besar Daun.
(Adat yang sekian lama terpatri di atas batu dan besi, dan yang tak boleh diubah-ubah lagi itu kini amat memeningkan kepala Lurah Khalid. Dalam sistem yang teguh tradisi kepecacaiannya, orang-orang kelasnya Khusriah sangat penting dan sentiasa saja dipelihara dan diternak dengan baik sekali oleh Demang Besar Daun. Namun Lurah Khalid tidak mahu orang-orang seperti Khusriah ini menjadi menantunya. Kata Khalid, orang seperti ini tak elok buat anak kampungnya.)
Dengan langkah terbaru Demang itu, ada yang sudah menebak-nebak bahawa nasibnya Lurah Khalid bakal menjadi seperti nasibnya Lurah Nizar di Lembak Perak. Menantu yang pecacai digunakan sepenuhnya oleh Demang untuk kerkah bapa mertua.
Khalid juga pening kenapa orang seperti Khusriah ini boleh dipaksa menjadi menantunya.
ii.
Apa agaknya tindakan seluruh rakyat jelata di Lembah Birahi apabila melihat adat dan amalan yang songsang ini berterusan?
No comments:
Post a Comment