Mereka datang membawa jambakan
Ramai yang datang membawa jambakan kekwa. ‘Yang ramai’ itu berkumpul di Masjid Negara dengan hasrat untuk sama-sama mengiringi Menteri Besar Selangor menyampaikan rayuan penting kepada DYMM Yang DiPertuan Agong di Istana Negara. Rayuan secara berkumpulan adalah di antara ikhtiar mutakhir setelah rundingan demi rundingan masih terus dicegat oleh tembok keangkuhan angker itu.
Mungkin mereka membawa jambakan untuk membuktikan bahawa sesungguhnya kehadiran mereka (yang mau dihalang itu) tersangatlah aman dan teratur. Bahawa mereka telah datang dengan sangat aman, tenteram dan teratur. Bahawa mereka datang kerana ingin merayu kepada pihak yang berkuasa, bahawa: “Sesungguhnya air itu anugerah yang wajar mereka nikmati dengan saksama.”
Kehadiran mereka kali ini membawa satu elemen terbaru ― nilai tambahan yang belum pernah kita saksikan sebelum ini ― bahawa mereka begitu romantis sekali. Oleh sebab romantisnya itulah, (agaknya) mereka berharap mereka tidak akan diapa-apakan.
Kenapakah mereka mau disakiti sedangkan niat mereka baik-baik dan suci murni belaka?
Mungkin mereka yang secara rasminya berbaju merah itu berfikir bahawa kali ini, laluan mereka akan menjadi mudah kerana tujuan mereka mengiringi seorang ketua “Tok Ketua Wakil Kepada Rakyat” Selangor itu, katanya ― telahpun direstui. Namun mereka juga telah diberikan amaran yang keras sekali oleh ketua mesin negeri bahawa itu adalah perhimpunan awam yang tidak berpermit@haram. Mungkin tingkat haramnya belum lagi mencapai ‘jadah’nya ― mungkin.
Mungkin Mesin itu hanya mahu membenarkan seorang “Tok Ketua Wakil Kepada Rakyat” itu saja berjalan kaki sendirian dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyampaikan mesej bahawa air tidak sewajarnya diniagakan oleh kroni, anak dan bini-bini mereka.
ii.
Rupa-rupanya ada juga dalam kalangan rakyat kita ini yang masih lagi romantis ― lalu berhasrat mahu mengiringi “Tok Ketua Wakil Kepada Rakyat” Negeri Selangor dari Masjid Negara ke Istana Negara itu dengan membawa jambakan bunga. Mereka membawa jambakan sebelum berdepan dengan alat-alat pententeram suasana milik Mesin. Alat-alat Mesin yang telahpun siaga dengan segala alat dan peralatan gempurnya.
Mungkin rakyat yang mahu bersama “Tok Ketua Wakil Kepada Rakyat” dengan membawa jambangan ini terlalu banyak membaca novel cinta.
Ternyata jambakan-jambakan itu tidak sedikit pun menyentuh mesin yang berseragam biru gelap, bertopi merah saga dan lengkap pula dengan alat senjatanya ― untuk menggempur!
Ternyata hati-hati mesin ini sama sekali tidak tersentuh.
Seperti anak muda yang tidak direstui hubungannya oleh bakal mertuanya ― mereka semua disambut dengan begitu baik dan terhormat ― ledakan gas pemedih mata dan mandian air asid. Mereka digempur dan dihalau-kejar seperti anjing-anjing kurap!
iii.
Kita tidak tahu apakah ada di antara rakyat jelata yang ‘jantan’ menghulurkan jambak-jambak bunga mereka kepada mana-mana gadis manis dalam kalangan mesin.
Apakah tersentuh gadis-gadis gerombolan mesin ini menerima jambakan?
Sila tanyakan Subramaniam ke mana dibawanya jambakan bunga itu.
No comments:
Post a Comment