Saturday, December 4, 2010

Pesta membeli belah

 “Questioning Arms Spending in Malaysia – From Altantuya to Zikorsky”  Suaram, 2010.    


Beberapa minggu yang lalu seorang teman LLG menghantar emel bahawa dalam pasaran kini,  terdapat sebuah buku baru oleh Dr Kua Kia Soong ― “Questioning Arms Spending in Malaysia – From Altantuya to Zikorsky”  Suaram, 2010.    

Semalam saya berpeluang mendapatkan senaskhah di MPH.

Dalam penghargaannya, Kua Kia Soong menyebut bahawa sejak tahun 60an lagi, dia begitu terpesona sekali mengamati kekentalan semangat rakyat Vietnam ― semangat yang membuktikan bahawa peperangan rakyat ― betapa pun peperangan itu berpanjangan, rakyat masih tetap mampu menumpaskan kuasa tentera yang paling perkasa di dunia.

Beliau mendedikasikan buku tersebut kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah terkorban dan menjadi lebih miskin kerana pesta membeli belah senjata oleh para penguasa negara kita.

Tidak kurang menarik,   Kua turut memetik kata-kata George Orwell bahawa “Tatakala seluruh jagat raya dipenuhi pembohongan, menyatakan kebenaran adalah perbuatan yang revolusiner.”

Entah kenapa, saya jadi teringat kepada Kaab, ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ dan para pahlawan aku-Melayunya dalam Gapena.


ii.

Kepada teman-teman, silalah dapatkan buku ini.  Marilah kita kunyah apa yang dihidangkan, marilah kita teliti apa, bagaimanakah industri keselamatan negara kita ini dan para pemain besarnya, telah berpesta pora, berbelanja sakan atas nama ‘keselamatan negara’  sementara seluruh murbawan berfikir-fikir sambil ― mendarab campur,  bagaimana mahu membayar ansuran pinjaman kereta, sewa rumah,...dan bil-bil yang semakin meningkat.

Contohnya Ahmad Lebai Sudin, Tiak, Kupang, Kedah sudah risau memikirkan bagaimanakah caranya dia mahu menyisihkan pendapatannya yang terhad itu untuk menampung kos petrol, gas dan gula yang akan meningkat.  Lepas ini mungkin pula air.

Semalam dia telah membuat draf awal, katanya sebuah sajak ‘Dirgahayulah rakyat yang didahulukan.’   Kalaulah anak muda yang namanya Rahimidin Zahari membuat bengkel di Kupang, boleh juga dia tunjukkan sajak itu nanti.

Siapa tahu, dan manalah tahu Gapena akan memilih sajaknya itu untuk antologi Komsas yang datang.

Saudara Lutfi atau Amir atau Lanh, bila lagi mahu dibincang isi buku ini untuk para pembaca Harakah dan juga Roket? 



No comments: