Wednesday, December 8, 2010

Rangginya dedap

Label@cop sebagai senjata


Dalam kehidupan yang tepu muslihat dan tipu daya ini, pelbagai makhluk menggunakan berbagai-bagai cara untuk mempertahankan diri, membaham atau ― setidak-tidaknya mengalihkan perhatian musuhnya.  Chameleon atau sang sumpah-sumpah itu terkenal kerana keupayannya menyamar dengan menukar warna kulit sesuai dengan persekitarannya.  Kerja menipu musuh dengan mengabui, mengelirukan atau memesongkan perhatian@tumpuan musuh adalah strategi kuno yang sangat berkesan.

Selain menjelma sebagai sesumpah, ada juga mahkhluk yang menyerang musuh-musuhnya dengan  melabel atau mengcop musuh-musuhnya dengan cop atau lebel yang buruk-buruk dengan tujuan untuk memudharatkan musuhnya.  Kaedah ini bukanlah baru kerana ia telah digunakan zaman berzaman.

Tatkala British menjajah tanah air kita, salah satu label yang paling popular ialah cop ‘Komunis’,  cop yang sangat-sangat ditakuti oleh orang-orang Melayu kerana sifat ‘anti-Tuhannya’ yang terserlah dalam ideologi itu.   Jadi kita tidak terkejut jika label ini sangat popluar dan paling berkesan yang digunakan oleh pihak British untuk memusnahkan para pejuang kemerdekaan.       

Label@cop yang diulang-ulang ini adalah di antara sebab utama kenapa pihak British mudah dan berkesan mematikan kebangkitan para pejuang yang bertekad mahu membebaskan Malaya dari cengkaman British.  Watak-watak seperti Rashid Maidin atau Shamsiah Fakeh akhirnya lebih tersohor kerana keterlibatan mereka dalam Parti Komunis.  Segala pengorbanan dan pejuangan untuk menghalau penjajah itu mudah ditenggelami dengan tuduhan penglibatan mereka bersama PKM.  Akhirnya golongan kiri ini yang bermati-matian menentang penjajahan ini dianggap jahat dan musuh rakyat.

ii

Kaedah melabel ini sebenarnya begitu universal  sifatnya.  Misalnya di Barat,  kita temui label ‘Islamic terrorists’ walaupun di sana wujud juga pelbagai kumpulan ‘terror’ yang sebenarnya lebih ‘terer’ sifatnya ― namun mereka ini ditenggelami oleh cop, kempen memburuk-burukkan kelompok yang Islam.

Di negara kita, dari semasa ke semasa kecenderungan pihak pemerintah melabel musuh-musuh politiknya sebagai kelompok yang fanatik, ekstrimis agama, anasir subversif atau pengkhianat negara ― kerap benar kita temui.  Kecenderungan ini lebih nyata apabila pihak pemerintah itu sendiri sedang menghadapi pergolakan dalaman yang serius atau tatkala pilihan raya umum sudah di ambang pintu.


iii.

Anehnya ― yang sering kita dengar adalah tuduhan-tuduhan tanpa bukti.  Tuduhan-tuduhan yang diulang dan diulang-ulangi oleh alat pemerintah yang paling ampuh, media.  Anehnya, ramai  juga dalam kalangan rakyat kita yang percaya bahawa tuduhan tanpa bukti yang diulang-ulang itu, sesungguhnya benar dan benar belaka.

Bila lagi agaknya kita akan memasuki era perdebatan terbuka yang disaksikan oleh seluruh rakyat jelata?  Debat langsung yang dipancarkan oleh media untuk disaksikan oleh rakyat.  Debat yang bakal mengutarakan dasar dan perjuangan parti-parti politik yang mahu menjadi pemerintah kita.

Bila lagi agaknya,  dapat kita saksikan debat terbuka secara langsung ini?

Ya, bila?


iv.


Apakah tuduhan itu ibaratnya rangginya dedap ― menyala tapi tidak berbau?

   

   

No comments: