Wednesday, December 1, 2010

Siri Puisi Kampung Warisan: Rahmat Haron

RAHMAT HARON


Tamadun (2)

i.
aku pendatang, 
orang tak bertanah
tubuhku adalah tanah akan kembali ke tanah.

ii.
Gelanggi kota batu hitam tenggelam digenangi air empangan Singapura;
Langkasuka telah lama didukakan; Gangga Nagara
dan para pendetanya dilupakan begitu saja
meski telinga sang pertapa 
panjang melayut sampai ke kaki 
dihormati maharaja China;
Lembah Bujang dan candi-candinya, terlalu lama menanti
ingin aku memerhati semangat tamadun purba;
di Melaka batu-batu nisan dan istananya dihancur
buat binaan kota A Famosa menjadi kebanggaan;
dari Srivijaya ke Tanah Melayu, menjadi Malaya dan kini Malaysia
siapakah yang mencemuh hina Melayu itu
kecuali melayu-layu itu juga?

iii.
aku tidak dapat melupakan temanku si Ah Heng,
benar dia pemakan babi bermata sepet,
tapi dia paling berani 
bertahan di hadapan penguasa
di Kampung Berembang berjuang untuk surau yang dirobohkan
cubalah kau teka siapakah yang merobohnya,
kecuali melayu-layu itu juga?

iv.
kita sedang melihat berhala kota dibangunkan
menara keangkuhan mahu mencakar-cakar awan
dari runtuhan sejarah merdeka yang rawan
siapakah si malang yang menanggung bahananya,
kecuali melayu-layu itu juga?

v.
Kampung-kampung warisan, di Gombak
tidak aku hairankan, sejak Tasek Utara,
Kampung Chubadak 
atau Ladang Sungai Nipah
atau Kampung Aman
telah aku kehilangan kira-kiranya,
betapa besar keuntungan, 
siapakah yang rugi,
kecuali melayu-layu itu juga?

vi.
beginilah kehidupan, tak ada yang kekal selamanya untuk kita,
tidak juga untuk kesombongan para penguasa,
dari runtuhan ini akan tumbuh pohon kehidupan
dan siapakah nanti menjadi bajanya,
kecuali melayu-layu itu juga?

vii.
aku pendatang,
orang tak bertanah
tubuhku adalah tanah akan kembali ke tanah.

10 Zulhijah 1431
Chiang Mai - Kuala Lumpur.



No comments: