RAJA YUSOF ARIFFIN
Usah Talkinkan Kampung Warisan
memang
pembangunan itu wajar
namun, apa erti
jika memusnahkan yang
lebih wajar terus kekar
sungguh
pembangunan itu perlu
namun, apa makna
andai menghancurkan yang
lebih perlu kekal padu
walaupun
pembangunan itu indah
namun, mengundang musibah
jika melenyapkan
yang lebih indah
tiada erti pembangunan
andai meruntuhkan
yang wajar utuh
tiada makna pembangunan
jika melenyapkan
yang wajar teguh
andai membunuh
keaslian kemanusiaan
kampung warisan
bukan sekadar nama
ia untuk diwarisi
dibentengi
kampung warisan
bukan antipembangunan
ia melengkapi kehidupan
kerana tiada yang baharu
jika tiada yang lama
anak zaman kini
jangan dibiar hanya
mengenali yang dicipta
hari ini
kampung warisan
bukan sekadar nama
ia untuk dipertahankan
dikekalkan
ia bukan antipembangunan
ia melengkapi kehidupan
kerana
sambil menikmati yang terkini
tetap menghargai tradisi
14 Zulhijah 1431
No comments:
Post a Comment