SITI ZAINON ISMAIL
Skrip berkisah:
Kami Waris
Kampung Bandar Dalam*
Kampung Bandar Dalam
di sini asal kelahiran kami
di Batu 4¼ Jalan Gombak
berbatas ke kampung asal lain
Chubadak, Padang Balang,
ke hilir Sungai Merali
Batu 4 menghala ke Kampung Puah
menghulu ke Sungai Mulia hingga ke Changkat
sejak dulu berpenghulu mukim Setapak
kini menyatu dalam MUAFAKAT
150 tahun bukan usia bawang
bercambah layu
kulit kering berterbangan
tapi pohon jati tegak berdiri
kukuh dan melindung
berbunga kasih sayang
Sungai mengalir menyegar kampung
mandi, menyuci dan berwuduk
dalam gigil pagi
sejak subuh, syuruk merangkak
menjelang basah keringat mentari
mencari rezeki
Si ayah berkebun getah
berlumpur di sawah
bertukang besi di bengkel kereta api
berjualan di pasar
menjahit di Jalan Melayu
berdakwah di madrasah
Kami putera puteri
ke sekolah berjalan kaki
di Sekolah Rendah
di Sentul, Gombak dan Setapak
berlanjut ke Sekolah Menengah
ke Maktab Perguruan
juga bertapak ke kampus
dalam dan luar negara
turut meneraju
kejayaan dan pembangunan kota
Kami pulang berhimpun
membawa nama
anak generasi berakal budi
semangat menjaga warisan
tahu asal usul kami
tetap berpijak di tanah kelahiran
Tidak lupa
meneroka kampung menjadi kota
jauh berasal usul
dari Singgalang, atau Merapi
mudik dari sungai Kelang
bercabang ke Sungai Gombak
tanah diteroka, membaja dan berkebun
Nama dibawa dari Bukit Gombak
Cucu Gaek Majolelo, Sutan dan Pakeh
ading ulamak, umarak, pedagang
meneroka kebun ading
kadang sungai banjir dan melimpah
ke tali air, menjadi Banda yang Dalam
Sejak moyang melepas tanah asal
jangan sekali syak wasangka
demi maruah bangsa dan agama
leluhur pun menyatu kuasa asal
menjadi rakyat Paduka baginda
diberi tanah meneroka
Kamilah pewaris anak negeri!
Di sini kasih abadi
sejarah asal tidak dilupai
kembali lah bersatu hati
meneraju tanah kelahiran
bangunkan kota jiwa
setelah jauh berbakti untuk negara
kenapa kalian lupa
menjenguk rumah kelahiran
menyapa warga emas
yang tinggal tidak seberapa?
Pembangunan kerap disalah erti
perancang kota mencacak jerejak
atap rabung, tiang dan dinding kayu
harus diganti
tapi kenapa
bangunan berdiri tinggi
bagai rumah merpati?
Mana halaman,
jalan sempit diriuhkan
oleh pemilik perumahan luar
sengaja memilih jalan sempit
mencelah laluan kampung
mestinya tahu
adat berkampung
beramah sapa
menjaga warisan kita
Tidak sekali kita
menolak pembangunan
tetapi kenapa masih saja
ingin menjadikan pasar niaga
di tanah secuil warisan ibunda?
Ya, jadikan sungai kasih
yang menyewa juga tahu erti
menumpang sementara
jangan cepat memunya
dengan sistem niaga gaya seberang sana
Bersama kita membina semangat
merapi halaman,
jalan kampung memang demikian
baik kita halakan laluan
masuk dan keluar
berhati lapang
bukan membesar lorong
berlagak sombong
Insya-Allah
damaikan kerabat warga berkampung
melestari warisan moyang
yang jauh tinjaulah rumah ibunda
kembalikan halaman ke waris cucu cicit kita
Hanya ini yang ada
secebis tanah menjadi intipan
atas nama pembangunan
atau oleh pelupusan
sebuah BANGSA
MELAYU yang mula dipinggirkan?
.
TIDAAAAK!!!!!
Wahai anakanda, cucunda dan cicit kita
buka kembali sejarah IBUNDA
tanah hanya sekangkang kera
mahu juga ditakluki
gerga si buta hati!
Kenapa mendiam diri di sana
hanya kerana nama gah
berjawatan, berkuasa dan harta di metro
membiarkan kampung kumuh
dihuni warga tua
atau berebutan harta
berjejer bumbung berebutan tapak
Penyewa baru tiba
menambah reban dan anjung
berjualan jamu bergantungan
sehingga resah Dewan Kota
inikah kampung warisan
menampal gaya setinggan ?
Kasih bukan buatan
tidak hanya sanjungan
dmi matahari, bulan dan bumi
Ciptaan-Nya
juga Akal Sihat Anugerah Ilahi
jangan kalian palsukan kasih
tanah sejengkal waris kehidupan
kenapa alah oleh serakah jalanan ?
Jahit dan ikat Iman
Suburkan keinsafan
Demi ayah ibu
dan kampung halaman
tanda maruah Insan
tabalkan keluruhan
kembang jiwa dan budi berdaun akal
cantikkan halaman
kampung warisan terlakar di peta
KITA SEBAHAGIAN WARGA IBU KOTA!!!!!
ALLAHUAKBAR
SEJAHTERA KITA SEMUA
DI BUMI INDAH MILIK-NYA!
(*dibaca di pekarangan Madrasah Tarbiah sempena sambutan 150 Tahun
Kampung Banda Dalam, 9-10 Okt. 2010)
1 comment:
Post a Comment