Thursday, December 2, 2010

Wacana Budaya Kampung Warisan - Dinsman


Dinsman (Artikel 189, 3/12)
Himpunan budayawan 1 Muharam Kg Bandar Dalam

Ya, 1 Muharam bersamaan 7 Disember ini, hari Selasa, di surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, satu daripada tujuh buah kampung yang termasuk dalam “Draf KL 2020”, yang dirancang akan diubah wajahnya, daripada kampung tradisi kepada kota moden. Maknanya perkampungan tradisi itu sedang diancam pemusnahan, demi untuk “pembangunan” yang menguntungkan pihak-pihak tertentu.

Alhamdulillah, pihak surau Madrasah Tarbiyah yang menjadi tuan rumah kepada acara ini, (yang akan dibuat di pekarangan surau tersebut), pun khabarnya telah membuat persiapan untuk menerima tetamu seniman dan budayawan yang dijangka ramai bilangannya. Bukan sahaja daripada sekitar Kuala Lumpur, tetapi ada juga daripada Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Seremban.

Tentunya ini menjanjikan sesuatu yang sangat menarik. Apabila para seniman muzik, puisi, teater, fotografi, seni lukis dan kartun serta para budayawan (dan intelektual) bertemu di laman sebuah surau, anda bayangkanlah bagaimana suasananya. Meriah? (Dan barangkali ada juga tokoh politik yang hadir. Siapa tahu?) Tentu meriah.

Maka awal-awal lagi Cikgu Ishak Surin yang mewakili AJK surau tersebut menyatakan agar kita jangan mengharapkan apa-apa yang istimewa daripada surau mereka. Sekadar layanan ala kadar sahaja, katanya.

Ya, sebenarnya menyediakan tempat untuk aktiviti seni-budaya yang barangkali julung kali diadakan sepertinya ini, pun sudah sangat memadai. Kita hadir pun untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan mereka – orang-orang kampung yang ingin mempertahankan warisan budaya kita yang sangat berharga itu. Jadi, tidaklah kita mengharapkan layanan daripada mereka. Hanya kita ingin bertemu dengan mereka.

Pada mulanya kita merancang untuk mula berkumpul pukul 5 petang. (Tapi kalau hadir untuk solat ‘Asar berjemaah di surau itu pun bagus juga!). Ya, selepas ‘Asar kita saling berjumpa kawan-kawan. Tetapi Siti Zainon Ismail telahpun membuat persiapan untuk membuka gelanggang lebih awal, iaitu selepas Zuhur.

Acaranya: “Mari Melukis!” bersama anak-anak Kampung Bandar Dalam (AKABA); dan untuk yang dewasa – “kolaborai Mesra Anak Alam dengan kawan-kawan pelukis UPSI dan lain-lain,” katanya.

Itu aktiviti untuk pelukis. Untuk yang bukan pelukis bolehlah mulai selepas ‘Asar. (Siapa nak join dengan pelukis pun boleh, datanglah awal). Pertamanya kita harap buku antologi puisi “Kampung Warisan Kuala Lumpur” sudah siap dicetak, insya Allah, dan bolehlah kita bermula dengan membeli buku itu, di samping buku-buku lain lagi yang akan dibawa oleh para penulis yang hadir.

Ya, rancangan Paksi dan Budayawan Bertindak untuk mengumpul puisi dan catatan para penyair dan seniman, sempena perhimpunan itu, rupa-rupanya mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Ada 53 orang semuanya, yang sempat menghantar tulisan mereka. Penulis lama dan baru. Terima kasih kepada Pyanhabib yang mengusahakannya.

Antara penyair yang menyumbangkan puisi ialah Puzi Hadi, Marsli N.O, Rahimidin Zahari, Rahmat Haron, Anbakri, Ibrahim Ghaffar, Shukri Abdullah, Wan Ahmad Ismail, Razali Endun, Hasni Abas, HMS Abu Bakar, Ismas Saring, Kassim Muhamad, Amni Jagat, Raja Yusof Ariffin, Rozan Azen, Amin Iskandar, Melor, Djazlam Zainal, dan Abdulhadi Muhamad. (Siti Zainon Ismail, Pyanhabib dan saya memanglah).

Dan ramai lagilah. 53 orang semuanya. Harap semua mereka hadir. Jangan hantar puisi untuk masuk buku sahaja tetapi tidak hadir pertemuan, kerana pertemuan itu yang lebih penting. Sasterawan Negara A Samad Said menyatakan akan hadir. Hishamuddin Rais berjanji buat persembahan. Imam muda kita daripada Alor Setar, Shazly, pun janji akan hadir. Dia ada album nasyid yang baru.

Yang lebih mustahak lagi sebenarnya ialah bertemu dan berinteraksi dengan orang-orang kampung di situ – tujuh buah kampung di pinggir bandaraya yang dikatakan akan dimusnahkan demi untuk memberi laluan kepada “pembangunan” itu. Kita mendengar cerita yang sebenarnya daripada orang-orangnya sendiri.

Memang malamnya selepas solat Isyak kita akan buat persembahan. Baca puisi, nyanyi, muzik, bercerita dan sebagainya. Daripada orang-orang kampung pula tentulah ada persembahan mereka, yang mungkin istimewa, yang belum pernah kita mendengar dan melihatnya – mungkin. Kita tidak tahu. Tapi kita percaya tentulah ada!

Tujuh kampung itu, seperti Kampung Bandar Dalam yang baru-baru ini menyambut usia 150 tahunnya, tentulah menyimpan khazanah seni dan budayanya tersendiri. Dan itu adalah khazanah seni dan budaya kita, khazanah seni dan budaya bangsa kita. Mengapa kita tidak memikirkan untuk memeliharanya dengan baik, sebaliknya dengan mudah pula kita mahu musnahkannya untuk digantikan dengan yang baru?

Memang acara ini bukannya forum untuk membincangkan soal budaya bangsa ataupun tamadun ummah. Namun begitu soal merobohkan dan memusnahkan tujuh buah Kampung Melayu Tradisi yang berusia 150 tahun, yang masih wujud dalam persekitaran bandar di ibu negara Kuala Lumpur, ini bukanlah suatu perkara kecil.

Kalau orang lain tidak ada kesedaran dan keinsafan seperti yang kita maksudkan ini, khasnya orang-orang yang terlibat dengan perancangan dan pembangunan bandaraya Kuala Lumpur, itu bukanlah alasan untuk kita bersetuju sahaja dengan pelan pembangunan mereka. Sebaliknya inilah alasan kami, Paksi dan Budayawan Bertindak, mengadakan pertemuan dengan Muafakat (Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), dan menganjurkan himpunan 1 Muharam ini.

Kita melihat di situ ada ruang bagi para seniman, budayawan dan intelektual untuk berperanan dan beraktiviti. Di mana para pentadbir, penguasa dan politik kurang peka memahami persoalannya, maka wajarlah para seniman, budayawan dan intelektual tampil membuat kenyataan yang perlu. Itu saja!

Maka bagi kawan-kawan yang berminat hendak hadir, lokasinya mudah saja. Madrasah Tarbiyah itu berada di sebelah kiri jalan ke Gombak, daripada Setapak, selepas lampu isyarat simpang ke Sentul dan Lebuhraya Karak. Kita sambut awal Muharam di situ.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


No comments: