Politik bejat untuk masyarakat yang bejat?
Sesi duduk semeja bersama Penerangan Pas Pusat, DHPP, Dewan Himpunan Penyokong Pas dan Paksi di Bangunan PKNS, Bangi pada petang Khamis, 13 Januari 2011 sukar dilupakan. 'Peristiwa' yang mencetus dan menghimpunkan para aktivis ini ialah cadangan kerajaan untuk menggunakan novel ‘Interlok’ sebagai buku teks sastera untuk sesetengah sekolah di Malaysia.
Terdapat aspek-aspek tertentu yang kurang menyenangkan masyarakat India, khususnya penggunaan perkataan ‘pariah’ yang dilihat tidak sensitif, menghina dan mengguriskan perasaan kaum India. Mereka juga menyatakan bahawa perkataan-perkataan Brahmin dan Brahma juga salah/kurang tepat penggunaannya.
Apa pun mereka (teman aktivis kuam India yang hadir semalam) juga tidak begitu senang dan tidak menyokong aksi protes dengan membakar ‘Interlok.’
Pertemuan bersejarah ini cukup menarik ― isu yang dilihat oleh satu kaum sebagai sensitif dapat dibincang dengan terbuka, telus dan ikhlas, sesuatu yang amat penting dalam membentuk sebuah bangsa yang merdeka, bebas lagi adil.
Bukankah kita kerap gagal kerana di sebalik segala laungan muluk-muluk bahawa kita adalah satu bangsa itu, akhirnya dilihat hanya sekadar pemanis mulut untuk memenuhi kepentingan para penunggangnya.
Sejak merdeka, entah sudah berapa banyak projek ‘kemunafikan’ yang telah dilaksanakan oleh para penguasa sehinggakan kita, sebagai rakyat menjadi sangat keliru dan sasau mengamatinya. Kita tidak lagi dapat melihat mana satukah yang benar dan ikhlas dan yang mana pula ‘surreal.’
Politik mungkin saja dilihat oleh kebanyakan orang sebagai ‘seni’ buat memungkinkan para pengamalnya mendapat sokongan, pengaruh dan kuasa. Oleh sebab itu segala ikhtiar yang difikirkan 'munasabah' sering dijelmakan demi untuk mencapai matlamatnya - walaupun tatacara, kaedah dan pengisian sebenarnya mungkin saja kosong, penuh muslihat, tipu daya yang licik dan tidak beretika dan ― paling teruk menjijikkan kerana sarat kemunafikan.
ii.
Itulah sebabnya kita sering menyeru, menggesa, mengajak teman-teman seniman, budayawan dan cendikawan sekalian untuk bangun dan berdiri sebagai insan-insan yang bebas, merdeka dan berpendirian dan BUKANNYA sebagai alat orang-orang politik.
Masanya sudah tiba buat seluruh rakyat negara ini berhenti menyerahkan nasib, masa depan dan kehidupan mereka secara TOTAL ke dalam jerat@lukah@perangkap politik. Politik, lebih-lebih yang bejat bakal memusnahkan segala-galanya.
Contoh-contohnya jelas di depan mata kita, dan paling mutakhir istana juga mahu diseret, diheret habis-habisan agar mereka tidak lemas dan tenggelam.
iii.
Dan jangan lupa, alat (seperti batang cangkul) atau lebih teruk terompak kayu hanya layak wujud di tandas ― dipakai bila diperlukan dan dicampak apabila sudah tidak berguna lagi.
Apakah kita semua rela ― menjadi terompah kayu?
Apakah para sasterawan itu juga adalah terompah kayu?
iv.
Lalu, apakah para sasterawan kita pelajari dari episod ‘Interlok’ ini?
No comments:
Post a Comment