Monday, January 10, 2011

Kuda: Taruhan dan tunggangan

Mana satu kuda taruhanmu?


“Wa aku pernah kata ― kalau Parti Negara yang menang pilihan raya, hari ini Wa sudah jadi orang besar.”

Begitu cerita seorang teman tentang ‘Tok Wa’nya (bapa saudara) yang memilih untuk menyokong Parti Negara.  Kata teman ini, “Waktu itu Wa adalah pegawai kanan RIDA, sebuah institusi yang ditubuhkan untuk membantu orang-orang Melayu.”   

Kini semuanya sudah menjadi sejarah dan kita juga tidak tahu apakah Wa teman saya itu,  masih hidup untuk melihat bagaimana Umno/BN sedang bergelut untuk mempertahankan kuasa yang dicengkamnya selama lebih setengah abad itu.


ii.


Apabila sesebuah parti itu dipilih oleh rakyat untuk menjadi pemerintah, terdapat pegawai-pegawai  awam tertentu yang mendapat laba besar kerana para birokrat penguasa itu adalah dari kalangan sahabat handai dan rakan taulannya.  Seperti kata Subky Latif dalam tulisannya berhubung kemelut lantikan SUK, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru ini, para penjawat awam yang menjadi sahabat karib para pemimpin ini bakal mendapat ganjaran.

Ya, kenapa tidak ― kudanya telah menang dalam perlumbaan.


iii.


Kisah pertaruhan kuda tertentu sebagai kuda lumbaan dan pertarungan merebut kuasa itu,  tidak berhenti di situ saja.  Di sana terdapat segala macam produk hiliran yang cukup menggetarkan nafsu.  Di sanalah terdapat segala macam habuan dan ganjaran untuk diagih-agihkan dalam kalangan para pengikut setia.

(Dalam konteks ini, mungkin kita elok ulang baca, katanya tesis Chandra Muzaffar berhubung politik patronage/naungan ini)   

Ya, kuasa politik yang amat perkasa itu memiliki jangkauan yang amat luas, besar, gagah dan cukup mencengkam dan ia berupaya mengagihkan segala habuan dan laba kepada mereka yang dilindunginya ― mereka yang taat dan patuh.


iv.

Untuk sesetengah pegawai tinggi awam yang terpilih (biasanya para PTD), manfaat ini tidak berhenti mengalir walaupun mereka telah bersara.  Ada saja hadiah, habuan, ganjaran dan buah tangan yang bakal diagihkan oleh para penguasa.  Ketaatan yang mutlak dan fenomena terhutang budi bakal menjanjikan habuan-habuan itu.  

Paling tidak, ada jawatan pengerusi segala macam institusi yang menanti ― mungkin, tuan tinggal pilih yang mana satu menjadi pilihan.


v.

Ada satu dua nasihat yang mungkin perlu diberikan perhatian:

Sebelum bertaruh, lihatlah kuda mana yang tuan pilih.

Untuk kekal lama dalam buku senarai orang yang tidak pernah dilupakan, jangan sekali-kali lupa menjadi pengikut yang ‘taat, setia dan ― yang paling utama janganlah menggigit tangan yang menyuap.’

Kenapa begitu?  Itu adalah dosa maha besar dalam sistem naungan.


vi.


Apakah rakyat jelata yang menjadi manusia terbanyak bakal mendapat pembelaan? 

Apakah usaha dan ikhtiar kita, (rakyat jelata termasuk para penulis), demi untuk memastikan agar para penjawat awam ini, sentiasa saja ingat akan sumpah jawatannya itu?  
 
Apakah upaya kita demi untuk memastikan bahawa sesungguhnya para penjawat awam itu adalah balacinya rakyat ― bukannya alat para pemegang kuasa?

Dan sesungguhnya inilah adalah hakikat benar, yang mesti diterimapakai dan didaulatkan.

Adakah kita keterlaluan ― mendamba harapan yang sedemikian?    



No comments: