Friday, January 7, 2011

Yang skeptikal

Skeptikal ― namun tidak putus asa

“Who says there is fairness in this world?” demikian seorang teman sepejabat itu melotot apabila kami bercakap tentang betapa pentingnya kita berlaku adil dalam meningkungi sepak terajang kehidupan ini.  Rasionale hujahnya ialah bahawa sesungguhnya keadilan mestilah ditegakkan dan sesungguhnya ― kita bakal dibicarakan semula.

Lain pula dengan teman yang aktif dalam Persatuan Penulis, pengusaha pengangkutan awam yang berpengalaman dan sahabat kami dalam Paksi dan Budayawan Bertindak, “ Bukankah aku dah cakap, orang-orang politik ini sama saja, serupa.”

Dia jengkel sekali dengan sikap, tingkah laku Exco Pakatan Rakyat yang pada pandangan teman ini,  seolah-olah sedang mengheret bongkah-bongkah batu yang ditambat di kasutnya dalam mengurus hal-hal sastera dan budaya yang pernah kami bangkitkan, cadangkan dan bentangkan kepadanya. 

Ternyata Exco dan pegawai kanannya ini tenggelam dalam kesibukan yang cukup panjang dan sangat berpanjangan.

Kadang-kadang kesian juga dengan mereka yang berjawatan besar dalam pemerintahan ini ― sibuknya memanjang sehinggakan para pelanggan ― seperti kami,  terasa pelik:  Apakah kesibukan yang menyebabkan sesuatu cadangan itu tidak dipedulikan sama sekali untuk tempoh lebih setahun?

Atau di sana ada sebab musabab lain yang kami tidak ketahui?  Apa pun,  teman kami Dinsman sudah sangat menyampah dengan segala dan apa yang telah berlaku.  Dia tidak mahu bicara lagi tentang perkara ini.


ii.


Dua contoh nyata di atas adalah hakikat dalam kehidupan ini ― bahawa ada sebab musababnya kenapa orang menjadi sangat skeptikal.      

Maka apabila seorang teman mengemelkan video (saya perlu menontonnya walaupun video tersebut sudahpun ada/wujud di dalam akhbar digital) ― mahu tidak mahu saya perlu menontonnya.  Rakaman itu memaparkan bagaimana adik beradik dan sanak saudara mendiang Teoh Beng Hock meraung semahu-mahunya memprotes keputusan “open verdict”nya kes kematian stafnya Pakatan Rakyat itu. 

Apakah ada kata-kata yang cukup baik gambarannya bagi menggambarkan sedu sedan, gelojak kekecewaan dan amarah meluap-luapnya sanak saudara Teoh Beng Hock ini? Lihatlah tuduhan yang telah dilemparkan oleh para pengkritik terhadap keputusan ini dan persamaan yang dikaitkan dengan kes ”Correct, atau korek, koreknya Lingam” itu.  Rata-rata umat di negara ini tetap jua skeptikal dengan janji yang telah dijanjikan.       

Sehubungan itu, bagaimanakah mahu kita hayati perasaan pedih-luka-kecewa yang teramat sangat dengan segala yang telah berlaku itu?

Apakah kita terlalu terkejut jika ramai juga dalam kalangan rakyat jelata ini sangat skeptikal bahawa ungkapan muluk-muluk  “Undang-undang tidak mengenali sesiapa” dan “demokrasi itu dari rakyat untuk rakyat” itu sebenarnya TIDAK memiliki makna apa-apa. 

Dalam konteks ini, Hishamuddin Rais ― itu pemiliknya blog Tukartiub selalu mengulanginya― ”Jika pilihanraya boleh mengubah sesuatu, pilihan raya telah lama diharamkan.”

Itu juga sangat skeptikal nadanya...


iii.


Kita tidak perlu terlalu risau dengan suasana sekeliling yang kelihatannya sangat tidak menyebelahi harapan baru yang dijanji-janji itu. Bukankah tugas kita hanyalah berjuang dan berjuang sehingga ke akhir hayat? (lagi kata-kata muluk yang juga basi sebenarnya!).

Memang betul ― apabila kita sudah tiada lagi di alam ini, kita bakal ditanya tentang kerja buat kita semasa menghuni dunia ini.  Kita tidak akan disoal ‘kenapakah regime yang zalim itu,  tidak mampu kamu musnahkan semasa kamu masih lagi bernyawa?’ kerana itu bukanlah tugas hakiki kita.    
  
Ertinya, janganlah berputus asa kerana pada hakikatnya yang perkasa tetap dan adalah rakyat, bukannya bala tentera dan segala peralatan yang mendokonginya.

Bukankah begitu?



No comments: