Biang celaka namanya pengswastaan
Semua orang sedar tidak ada satu pun perbuatan insan, seorang Hamba Allah itu, benar-benar ‘bebas-merdeka’ daripada memberikan impak kepada lingkungannya. Sebagai contoh, penyakit ketagih seorang perokok bakal mempengaruhi neraca imbangan poketnya, sementara asap berbunga yang terjana, menyesakkan lingkungannya.
Seorang pemimpin dengan segala agenda besarnya tentunya cukup sedar dengan impak pelaksanaan sesuatu idea dan pemikiran besarnya itu. Misalnya, membenarkan sebuah hyper market, pasaraya berskala serba mega bakal membunuh kelangsungan hidup para peraih dan peruncit kecil, KECUALI ada mekanisme tertentu diwujudkan untuk mengatasi dampak kewujudan pasaraya hyper sedemikian itu.
Mematikan persaingan para pengilang padi atau mematikan sebuah institusi yang berurusan dengan industri padi dan beras adalah kerja yang sangat mudah. Mematikan LPN itu kerja yang relatif cukup mudah. Bukankah kerja melingkupkan itu jauh lebih mudah daripada membina? Seorang mantan telah ― dengan begitu mudah sekali pelingkup pelbagai institusi, termasuk kehakiman. Tun Salleh Abas yang amanah itu tidak baik untuk sebuah agenda besar. Masalah kita yang paling sukar sekarang ialah mengembalikan institusi itu ke statusnya yang asal.
Sebenarnya, biang celaka yang paling besar membawa kecelakaannya, ialah pakej pembangunan yang mereka namakan, pengswastaan itu.
ii.
Apabila mereka merobek-robek segala prasarana asas yang selama ini berurusan dengan industri padi di seluruh negara, misalnya, apa agaknya agenda besar mereka ini ― para pemimpin Umno/BN ini?
Apabila bahagian percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka itu mereka cadangkan supaya diswastakan dengan secepat yang mungkin, siapakah yang telah memaklumkan kepada mereka tentang segala akibat kerja pengswataan ini?
Apakah mereka, para pembuat dasar dan pemimpin yang dipilih rakyat ini, dimaklumkan bahawa di dalam industri penerbitan buku itu terdapat sekian-sekian banyak IKS yang TIDAK boleh dilenyapkan begitu saja?
Jika ada yang telah memaklumkannya, apakah yang telah mereka lakukan?
iii.
Para perakus dan penzalim apabila kita amanahkan dengan kuasa, bijak sekali mencipta agenda ― menterkedarah harta negara!
Apakah para pemimpin jenis ini yang kita perlukan?