Dasar yang telah mereka sanderai
Perkataan ‘dasar’ atau polisi (policy) ini kerap kita dengar apabila Pak-Pak Menteri atau pegawai-pegawai tinggi pemerintah berucap dalam acara-acara rasmi atau semasa ‘menyampaikan’ kertas kerja.
Dalam konteks dasar ini, jika adalah satu dasar yang terkenal, dasar tersebut tidak lain tidak bukan ialah DEB, Dasar Ekonomi Baru yang bagi sesetengah pihak terkenal (famous atau lebih tepat yang notoriuos, well known for its wickedness,― ya, terkenal kerana kejahatannya, kerana katanya, sifat pilih kasihnya.
Waktu membuat persediaan untuk mengambil peperiksaan am kerajaan, DEB adalah soalan yang popular. Kalau saya belum pikun atau masih lagi sedikit waras(1), DEB itu adalah serampang dua mata, a double-headed wisdom(2), bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan ― tanpa mengira kaum. Rasanya itu adalah dasar yang baik atau setidak-tidaknya berniat baik.
ii.
Bagi kita, dasar yang pada asalnya baik itu, telah disandera@hijacked oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ― yang berkepentingan.
(Inilah yang menarik untuk diteliti oleh anak-anak muda kita, lebih-lebih lagi anak-anak muda yang namanya mahasiswa itu. Inilah yang menarik jika diangkat oleh para mahaguru (ilmu) di pelbagai menara ilmu kita supaya dibincangkan oleh anak-anak muda kita ― anak muda Melayu, Cina, Iban, Murut dan anak muda yang datuk neneknya berasal dari Kerala tapi kini menjadi seorang rakyat kelas EEEE.
Kenapakah para pengurus pelbagai ‘sekolah ilmu’ ini kelihatannya lebih berminat untuk mengurus anak-anak muda ini seolah-olah seperti mengurus Pusat Serenti?
Demikianlah jadinya apabila kita dan segala lingkungannya, terlalu sibuk mahu menjadi pengampu daripada benar-benar mencari dan menimba ilmu.
Bukankah begitu?)
iii
Mari kita kembali ke tajuk asalnya, iaitu tentang dasar. Biar pun betapa baik sekali pun sesuatu dasar itu, ia tidak membawa apa-apa erti, jika tidak dilaksanakan dengan betul.
Dalam konteks DEB ini, kita melihat parti-parti komponen pemerintahan BN (misalnya MCA, Gerakan, PPP dll) yang para pengikut terasnya itu adalah orang-orang bukan Melayu, sebenarnya turut bertanggungjawab kerana membiarkan semua ini, termasuk proses penyanderaan@hijacking dasar yang baik ini terjadi.
Di sini, kita ada satu dua soalan:
Apakah payahnya untuk mereka ini menyoal berulang-ulang kali: Di manakah program-program pembangunan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum itu diletakkan dalam siri-siri belanjawan itu?
Apakah payah bertanya soalan-soalan seperti ini?
Atau mereka pun, juga sibuk menyusun kroni di belakang tabir?
Bagi kita, mereka pun bertanggungjawab kerana tuduk dan patuh kepada Umno sehingga dasar yang pada asalnya baik itu, dilencongi daripada arah tujunya yang sebenar.
Itulah sebabnya kita selalu menyeru ― berulang-ulang kali: Kita tidak boleh berdiam diri.
Bangun dan bercakaplah.
For goodness sake, please speak up!!!
______________________________________________
(1) (kerana tidak sesuka hati memilih untuk mengingati ― atau pun melupakan saja sesuatu peristiwa itu kerana dorongan agenda tertentu)
(2) (apakah dasar tersebut tidak bertukar menjadi a double-headed snake?)
No comments:
Post a Comment