Islam: Lihatlah ― amalan dan teorinya Artikel pertama dari Harakahdaily: |
Attif Idris |
KOTA BHARU, 31 Jan: Seramai 31 orang Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hulu Selangor yang terdiri dari kalangan India bukan Islam telah mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dibawa beliau naik ke masjid Pulau Melaka. Sebelum itu rombongan yang diketuai Adnan Mat Nor selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Hulu Selangor turut diraikan di dalam majlis makan tengahari di kediaman rasmi Manteri Besar, JKR-10. Rombongan juga telah diberi taklimat oleh Pegawai Penerangan Zon daripada Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan (UPKN) mengenai Dasar-Dasar Kerajaan Negeri dan kehidupan masyarakat India dan kaum bukan Islam di Kelantan yang tidak pernah terpinggir dan sentiasa dilibatkan di didalam setiap program. Pada sebelah petang ahli rombongan telah menemui Tuan Guru di perkarangan Masjid Pulau Melaka seterusnya memasuki masjid untuk mendengar tazkirah yang disampaikan Nik Aziz. Antara kandungannya Nik Aziz berkata, di Kelantan PAS mengamalkan sistem pemerintahan Islam kerana ia adil untuk semua kaum. “Kita semua adalah keturunan dan cucu cicit Nabi Adam a.s yang merupakan adik beradik, Umno tidak pernah memberitahu sedemikian kerana mereka tidak mengamalkan sistem politik Islam, sebaliknya mereka mengamalkan sekularisme, dan ini boleh memecahbelahkan keharmonian kaum. Namun di Kelantan menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberitahu perkara ini. “Soal orang bukan Islam memasuki masjid sengaja diperbesar-besarkan demi politik murahan mereka, di Kelantan kita menggalakkan orang bukan Islam untuk memasuki masjid, dan banyak program telah diadakan di masjid yang turut melibatkan orang bukan Islam,” jelasnya. Beliau juga menyifatkan orang bukan Islam yang memasuki masjid akan dapat belajar apa yang diajarkan oleh Islam tetapi mestilah dengan beradab dan sopan. Nik Aziz juga menyeru supaya perkara-perkara yang baik seperti diuar-uarkan kepada masyarakat bukan Islam khususnya di negeri-negeri selain Kelantan kerana orang-orang bukan Islam di Kelantan kini telah dapat menerimacorak pemerintahan Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Kelantan kerana Islam adalah adil untuk semua. Selepas itu ahli rombongan telah dipelawa oleh Nik Aziz ke kediamannya yang terletak bersebelahan dengan masjid. Artikel Kedua: Dari The Malaysian Insider Mahathir dakwa Islam Nik Aziz lebih teruk banding Islam nasionalis Oleh G Manimaran January 31, 2011 KUALA LUMPUR, 31 Jan — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Islam dibawa oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat “lebih teruk dari Islam nasionalis” dan menjadi penyumbang kepada perpecahan orang Melayu Islam negara ini. Justeru, kata Bekas perdana menteri, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan bekas perdana menteri Singapura itu supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu. “Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. “Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng,” kata Dr Mahathir dalam tulisan entri terbaru dalam blog beliau hari ini. Khamis lalu, Nik Aziz dilapor menyifatkan orang Melayu di Malaysia yang menolak Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme lebih teruk dari Lee. |