Wednesday, February 16, 2011

Kitakah bangsa itu?

Berlambak-lambaknya isu


Sepanjang ingatan kita, negara ini tidak pernah kekeringan isu ― pelbagai isu dalam berbagai-bagai skala pula ― kecil, sederhana dan mega; dan semua itu telah sama-sama kita harungi.  Paling jelas, tentunya kita tidak dapat melupakan krisis berskala mega akibat pencerobohan pihak ekskutif terhadap sistem perundangan, iaitu dalam bencana pemecatan Tun Salleh Abas oleh perdana menteri ketika itu.  (Itulah salah satu bukti nyata betapa parah kerosakannya terhadap negara akibat kedegilan Sang Peguasa yang bermati-matian mahu terus bergayut di tampuk kuasa).  

Sementara itu, krisis perlembagaan yang meletup akibat tindakan politik untuk menghadkan kuasa raja-raja juga tidak kurang menarik perhatian rakyat termasuk pelbagai pengamat politik. 

Lalu kita dihidangkan juga dengan siri skandal, lakonan seperti BMF, Memali, Sauk, Ops Lalang, pengwujudan Indah Water, Al-Muana/Sauk dan...tentunya kita tak dapat,  sama sekali melupakan Sodomi I yang diikuti pula oleh siri, serial dan sequencenya, iaitu Sodomi II (hilarously bizzare and unbelievable! kata Mat Salleh).  Ya, sungguh luar biasa, pelik dan melucukan sekali,  negara kita ini.

Kita juga berdepan dengan protes Bersih dan GMP.  Dua buah protes massa dan jalanan yang sukar dilupakan.

Anehnya,  kedua-dua isu besar yang diprotes oleh rakyat jelata itu masih juga belum beres-beres.  Isunya masih belum juga dapat diselesaikan dengan tuntas dan meyakinkan. Pengurusan pilihan raya kita masih juga tidak bertambah telus, bebas dan tidak partisan.  Cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya, entah ke mana perginya.

Kita masih temui dan berdepan dengan tindakan aparat-aparat, yang semestinya bebas, adil dan telus, tapi masih juga TIDAK berkelakuan/bersikap profesional.  Malah timbul pula isu-isu lain seperti cadangan dan idea undi proksi yang dilihat oleh banyak pihak sebagai helah untuk membantu Sang Penguasa.


ii.

Tatkala timbul organisasi baru yang namanya Indah Water untuk merawat air kumbahan, rakyat bangun memprotes.  Bertahun-tahun rakyat menentang kerana terpaksa membayar perkhidmatan@servis yang, katanya, tidak ada.

Hari ini suara-suara protes itu sudah tidak lagi kedengaran.  Apakah ini bermakna bahawa rakyat tunduk dan akur lalu, diam-diam bayar servis yang ‘tidak pernah wujud’ itu?          

Hari ini, tepatnya malam ini (16 Februari 2011) di Taman Bolton, Sri Gombak kita akan temui KASE II, Kempen Saman Ekor II yang juga aksi protes rakyat terhadap tindakan penguasa meminda Akta JPJ yang boleh mengabsahkan saman ekor.  Akta itu juga telah mengwujudkan dua buah syarikat, katanya kroni,  untuk membantu dalam hal-hal saman ekor ini.

Walaupun diprotes hebat, ia sudah menjadi Undang-Undang.  Apakah ini juga akan menjadi seperti Indah Water dan isu-isu lain itu?



iii.


Apakah yang tidak kena dengan kita semua,  sebagai rakyat jelata? 

Apakah masalah kita semua ― sebagai satu bangsa?

Di manakah bersembunyinya para penggerak masyarakat madani yang kita idam-idamkan supaya segera ke depan dan aktif memimpin itu?

Ke mana perginya para elit, cerdik pandai kita itu?

Apakah benar mereka ini sekadar dan ― hanya kelihatan seolah-olah pandai kerana memiliki kertas yang bergulung-gulung tapi ― sebenarnya tidaklah begitu cerdik? 

Mereka, seperti para pemegang sijil ISO, telah memperolehi perakuan bahawa “kami sebenarnya tidaklah bodoh.”

Apakah tuan tidak kesian melihat sedemikian banyaknya cerdik dan pandai yang bertaburan dalam pelbagai universiti kita itu yang sangat mandom dan terkebiri?

Apakah kita ini satu bangsa yang telah dikebiri kekal?  




No comments: