Dewan Bahasa dan Pustaka (1)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 hasil dari cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 pada tahun 1956, dan mula beroperasi pada bulan Oktober 1956, iaitu di tengah-tengah suasana dan semangat menyambut kemerdekaan tanah air. Di situlah DBP mengatur langkah pertamanya untuk menjalankan tugasnya yang amat penting, iaitu mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka.
Objektif penubuhan DBP
Objektif DBP yang tercatat dalam Akta 213, Akta DBP (semakan tahun 1987, pindaan dan peluasan 1995) adalah seperti berikut:
1. Untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
2. Untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan
3. Untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.
4. Untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
5. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
6. Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
________________________________________________
Sekadar pemerhatian:
Sepertimana yang kita sedia maklum, untuk mencapai setiap objektif sepertimana yang digariskan di atas, tentulah pelbagai kaedah, pendekatan, strategi telah dibincang, diteliti untuk dilaksanakan.
Itu sejarah sejak tahun 1956, setahun sebelum kita merdeka.
Kalaulah ada yang bertanya tentang pencapaiannya, misalnya objektif yang ketiga, apakah jawapan kita?
Apakah DBP telah jauh ke depan dalam abad ke-21 ini?
Adakah kewujudan DBP telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ‘perkembangan sastera’?
Adakah kewujudan DBP itu telah menjadi pemangkin pertumbuhan industri hiliran yang ada kaitan langsung maupun tidak langsung dengan dunia buku, khususnya dalam bahasa kebangsaan?
Untuk mengukur pencapaian pelbagai industri hiliran ini, mungkin, ya mungkin sekadar contoh, kita bolehlah mengira berapakah IKS yang terlibat sebagai pencetak, sejak tahun 1956 dan berapakah pula bilangannya sekarang ini, iaitu tahun 2011.
Ini bermakna, berdasarkan semua objektif yang telah digariskan di atas, bolehlah kita mencari pelbagai kaedah untuk mengukur pencapaian kita.
Setelah mengukur, maka kita akan ketahuilah di mana dan ke manakah DBP itu sebenarnya?
Bukankah begitu?
_______________________________________________
(1) (Berdasarkan risalah yang dibekalkan oleh teman-teman di DBP, kita salin semula untuk renungan bersama...)
No comments:
Post a Comment