SAMAN EKOR
(Katakan TIDAK!)
“Dari The Malaysian Insider”
Kompaun makin lewat, makin bayar tinggi mulai 1 Mac
February 16, 2011
PUTRAJAYA, 16 Feb — Mulai 1 Mac ini, pengguna jalan raya akan berhadapan dengan kadar kompaun baru saman kesalahan lalu lintas berikutan penyusunan semula kesalahan lalu lintas, yang dipersetujui Kabinet hari ini.
Kadar kompaun baru itu akan dikenakan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori sebelum ini dengan kompaun minimum sebanyak RM40 dan maksimum RM300 bagi kelas kenderaan jenis motosikal 250cc dan ke bawah; dan kelas semua jenis kenderaan lain.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata kadar kompaun baru itu ditetapkan mengikut kelas kenderaan; tahap keseriusan dan jenis kesalahan.
“Ia juga akan menyaksikan nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun berdasarkan kepada prinsip ‘The More You Delay, The More You Pay’ (Makin Lewat, Makin Banyak Perlu Dibayar)”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di kementeriannya di sini.
Tempoh pembayaran dibahagi kepada tiga peringkat iaitu pembayaran pada hari pertama hingga hari ke-15, pada hari 16 hingga hari ke-30 dan pada hari ke-31 hingga hari ke-60.
Bagi saman-saman yang tidak diselesaikan selepas hari ke-60, saman-saman itu akan didaftarkan sebagai kes di mahkamah.
Kong berkata kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan mana-mana kesalahan lalu lintas secara berulang.
“Kompaun berganda itu melibatkan kesalahan dalam kategori pertama, kedua dan ketiga atau kombinasi daripada mana-mana kesalahan daripada kategori tersebut sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama,” jelasnya.
Kong berkata kadar kompaun bagi kategori pertama dikekalkan maksimum RM300 kerana ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan dengan perkhidmatan teksi.
Kadar sama dikenakan kepada kesalahan memandu melebihi daripada had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, mengekori kenderaan dengan rapat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Kesalahan tersebut adalah serius dan perlu dikenakan kompaun yang lebih tinggi, berbanding dengan kesalahan-kesalahan kecil lain dan ia melibatkan semua jenis kenderaan termasuk motosikal,” kata menteri itu.
Bagi kategori-kategori yang lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap keseriusan sesuatu kesalahan.
Kong berkata kerajaan memberi pertimbangan kepada penunggang motosikal di bawah 250cc di mana mereka diberi kadar kompaun lebih rendah berbanding dengan lain-lain kenderaan kecuali bagi kesalahan kategori pertama.
Antara lain, Kong berkata Orang Kena Saman (OKS) tidak dikenakan mata demerit di bawah Sistem KEJARA sekiranya mereka menyelesaikan saman tertunggak dalam tiga bulan.
Kong berkata kadar kompaun baru dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi-agensi berkaitan.
“Ia akan diselaraskan oleh semua agensi penguatkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.
Mesyuarat yang diadakan bagi penyusunan semula kesalahan-kesalahan lalu lintas turut melibatkan Badan-badan Bukan Kerajaaan (NGO) dan syarikat insurans, katanya. — Bernama
______________________________________________
Daripada brosur “Katakan TIDAK kepada Saman Ekor”, kita temui jawapan ini:
Apakah Tindakan Anda?
1. Apakah yang harus dilakukan jika anda disenarai-hitam oleh JPJ sedangkan anda tidak pernah menerima Saman Ekor dan tidak pernah didakwa di mahkamah?
Anda boleh meminta tunjuk sebab daripada JPJ alasan disenarai-hitamkan, keengganan JPJ membenarkan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu adalah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat terhadap harta.
2. Apa yang boleh anda lakukan jika anda disenarai-hitamkan oleh JPJ dengan alasan anda memiliki saman tertunggak dan saman tersebut adalah Saman Ekor?
Pemilik kenderaan/Pemegang lesen boleh menuntut gantirugi kehilangan penggunaan harta benda kerana telah dinafikan hak ke atas harta seperti yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Suatu tindakan sivil di Mahkamah untuk gantirugi kegunaan kenderaan boleh dilakukan.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati:
http://www.facebook.com/home.php#!/pages/Kempen-Anti-Saman-Ekor-KASE/146289665399185
Jangan biarkan penderaan dan perbuatan membuli terhadap rakyat jelata berterusan. Sama-sama kita bangun menentang Saman Ekor!
No comments:
Post a Comment