Friday, February 4, 2011

Rumus untuk tidak berkubur

Empat angkubah: Melayu, bukan Melayu, Raja-Raja dan Islam
(betapa malasnya menulis tentang tajuk seperti ini, namun...ia tidak jua mahu nyah buat selama-lamanya!) 


Lihatlah bagaimana mereka menjaga persamaan matematiknya.  Persamaan yang MESTI dipegangnya dengan segala kudrat yang ada ― yang dipegang itu adalah nyawanya sendiri.

Ya, inilah yang dilakukan oleh Umno/BN dan para pemikirnya (baca: termasuk APCO) demi untuk mengekalkan kuasanya. 

Ya, untuk berkuasa,  persamaan matematik ini mestilah sentiasa diawasi, diteliti, diimbangi ― pendek kata mesti sentiasa ditimbang-sukat agar sentiasa ― dan sepanjang masa, terkawal dan TIDAK tergeleceh.


ii.

Kuasa Umno/BN = f {Melayu, Bukan-Melayu, Raja-Raja, Islam}

Kuasa Umno/BN itu fungsinya@bergantung kepada empat angkubah yang mesti ‘diawasi dan dikawalnya’ sepanjang masa.  Angkubah atau variable tersebut ialah:

Sokongan orang-orang Melayu,
Sokongan orang-orang bukan-Melayu,
Menjuarai kedudukan Raja-Raja Melayu
Menjuarai kedudukan agama Islam.


iii.

Sejak PRU 12, orang-orang Melayu telah lari daripada Umno.  Ini sesuatu yang sangat tidak sihat untuk parti pemerintah seperti Umno. Itu malapetaka yang mesti dijauhi.

Maka kita pun melihat kemunculan sub-kontraktor besar Umno seperti Perkasa yang bertuankan orang besar tertentu.  Orang besar ini sekarang menjadi juara/taikonya NGO Melayu ini.

Orang besar ini juga pernah naik dan menjadi besar kerana taktik dan teknik yang sama.  Mantan PM ketika itu pun,  disingkirkannya dengan memainkan sentimen Melayu ini.

Orang ini amat arif, sentimen Melayu adalah senjata yang besar pengaruhnya.


iv.

Yang bukan Melayu juga tidak boleh diketepikan.  Mana ada parti yang dapat memerintah tanpa sokongan orang-orang bukan Melayu?

Jangan bimbang, kita cipta SATU formula baru.   

Maka sejak pasca PRU12, segala-galanya pun telah menjadi SATU.

Lucu juga mendengar dan melihat ― sana, sini dan situ semuanya satu ― kecuali yang tersembunyi itu.  

(Dalam usaha untuk melukah/menjerat  sokongan orang-orang Melayu dan juga orang-orang bukan Melayu ini, kita kerap sekali melihat percanggahannya; satu ke Utara sementara yang satu lagi ke Selatan.  Tak apa wujud kemunafikan/hiprokrasinya asalkan rakyat, baik Melayu maupun yang bukan-Melayunya ‘kelihatan’  dijuarai)

   
v.


Angkubah yang ketiga dan ke empat dimainkan, diolah, dilontarkan dengan bantuan pelbagai agensi tertentu ― dari semasa ke semasa.

Lihatlah apa yang telah berlaku di Perak dan Selangor.
Lihatlah isu nama Allah.
Lihatlah kes membakar gereja
Lihatlah tragedi kepala babi dalam masjid.
Lihatlah, lihatlah dan lihatlah...

vi.


Nasihat kita: Janganlah kita sampai terkejut, jika sesekali dan kerap sekali, semua ini muncul dengan begitu gencar sekali.

Lihatlah bagaimana cerita bersalaman pun dibangkitkan oleh seorang pelakon vcd yang terkenal.

Sungguh lucu negara kita ini.

Lucu sekali ― apabila ahli-ahli politik yang paling veteran pun tak puas-puas lagi berlakon.

Oh, ya jangan sampai kita lupa rumus matematik Umno/BN, dengan empat angkubah tersohor itu:

Melayu, Bukan Melayu, Raja-Raja dan Islam ― setiap kali mereka mahu menggempar dan menakut-nakutkan kita, rakyat jelata!!

Sungguh,  satu usaha yang begitu melucukan...