Friday, February 4, 2011

Jejak

Jejak yang kita tinggalkan

Ke dunia mana saja kita berpergian, tentunya ada jejak yang telah kita ukir dan tinggalkan.  Di pantai waktu, jejak-jejaknya mungkin saja terhakis, larut atau mungkin juga semuanya masih terpahat dalam ingatan ― selagi hayat dikandung badan.

Ada teman bukan Melayu yang bercerita bahawa berpindah dan meninggalkan negara ini,  buat selama-lamanya (for good), tidaklah semudah dan seindah yang difikirkan oleh sesetengah orang.  Kita yang telah lahir, membesar, bersekolah, bercinta dan berumah tangga di ‘tanah tumpah darahku’ tentulah meninggalkan terlalu banyak jejak.  Kita yang lahir dan dewasa di negara ini tentunya masih ada sahabat handai, punya saudara mara dan ibu bapa yang sangat dikasihi.  Bukan semua orang berupaya memadamkan jejak-jejak itu.

Anak-anak yang membesar untuk menjadi sebahagian daripada negara yang baru mungkin saja tidak ada sebarang jejak; mereka tidak pernah memiliki pantai itu untuk meninggalkan jejak.

ii.

Setiap kali kami anak beranak berhenti di Masjid Kampung Mesah sekitar Gopeng, saya sentiasa teringat kepada Rashid Maidin.

Pagi ini tatkala bersarapan, saya telah mendengar ― dengan lebih dekat Mak Cik-Cik dan Pak Cik-Ciknya berbicara dalam loghat mereka yang asli.

“Banjar?”

“Bukan itu Rawa, Banjar banyak di Sungai Manik”

Sebelum itu kami saling berkenalan, ringkas.


iii.

Entah kenapa, ada soalan yang menerjah:

Apakah begitu sakit rindunya Chin Peng kepada Setiawan?
  
Apakah Rashid Maidin pernah berfikir bahawa negaranya telah jadi begini?

Demikianlah kuatnya dan gagahnya pengaruh branding@propaganda  dalam kehidupan ini.

Jejak-jejak di pantai waktu, siapakah yang mampu memadamkannya ― buat selama-lamanya? 



No comments: