Tuesday, March 8, 2011

Hanya kulitnya

Kita hanya terdaya melihat kulitnya


Apakah tuan termasuk orang yang yakin dengan slogan?  

Apakah tuan teruja (atau lebih sesuai dan merangsang lagi, ‘naik steam’) dengan ungkapan sarat propaganda seperti ‘rakyat didahulukan..itu?

Atau yang paling mutakhir, apakah “Lu tolong gua, gua tolong lu” (Luto Guto) itu cukup menerujakan tuan?  Tuan teruja dengannya?

Ada penganalis yang mengatakan kejayaan cemerlang dua pilihan raya kecil, Merlimau dan Kerdau,  disebabkan oleh keterserlahan kepala gerabak 1Malaysia.

Kita serahkan kepada tuan untuk mengklasifikasikan sama ada ini sebagai pandangan ilmiah penganalisis atau pun proses ampu mengampu si pengampu.  Yang jelas, sudah ada yang menyebutnya begitu.

  
ii.

Kalau difikir-fikir dan direnung dengan lebih mendalam, kita (rakyat Malaysia) termasuklah golongan manusia di bumi yang amat gemarkan slogan, tagline ― atau sebarang ungkapan yang menggugah nafsu mentah kita.  Tanpa berfikir apakah makna (penipuan di sebaliknya), kita mudah dihanyutkan hanya dengan slogan muluk-muluk yang kadang-kadang tak jelas maknanya.

Nampaknya kita jarang berfikir apakah isinya slogan-slogan yang disurung-terjah ke dalam kerongkong kita.  Kita jarang memikirkan inti dan pati slogan itu,  kecuali menelannya bulat-bulat ― macam pedukang melahap tahi.  

Contoh-contoh,  betapa mudahnya kita terpedaya dengan kulit (dalam konteks ini, hiburan) ialah seperti berikut:

Ibu bapa, sanak saudara tersedu-sedu apabila anaknya terkeluar daripada progam pertandingan memilih jaguh nyanyian di tv (Reality show, kata mereka). 

Dalam pilihan raya Kerdau dan Merlimau yang baru lalu, anak-anak muda katanya telah menerkam selebrati A apabila ada seleberati B yang lebih muda dan sedang ngetop juga muncul bersaing dalam acara-acara hiburan. (Sila rujuk laporan/analisa Jimadie Shah dalam Malaysiakini versi Melayu).

Sementara orang-orang tua pula menerkam ceramah yang digandingkan dengan persembahan dan nyayian Raja Gelek.

Kita tidak dapat membaca isi yang ada di sebalik semua persembahan itu.  Kita syok dengan pesta dan hiburan.  Kita tidak dapat membaca kenapa tiba-tiba saja,  jalan ke jamban kita,  juga tiba-tiba saja diaspal licin merlit, sementara jalan masuk ke rumah jiran AJK parti lawan yang berlopak-lopak dan rosak teruk, ditinggalkan.  Kita tak nampak bahawa di sanalah masalah terbesar kita.

Kita teruja dengan kepentingan diri kita sendiri.


iii.

Adakah ini hasilnya pembangunan insan yang ditanam sekian lama di negara kita?  Kita terpegun dengan slogan dan...tentunya hiburan.

Kita lupa tentang masa depan kita sebagai satu bangsa.

Jangan lupa, Panglima Melayu itu begitu gembira sekali kerana orang-orang Melayu telah kembali ke kandangnya yang lama. 
        
Seorang profesor Melayu mahu Melayu bandar juga ditawan supaya agenda Melayunya kekal.  Mereka lupa segala-galanya,  kecuali Melayu.

(Untuk mengikuti ulasan ‘asalkan Melayu ini’  dengan lebih mendalam, sila ikuti tulisannya
Sakmangkol AK47 http://sakmongkol.blogspot.com dalam entrinya tentang Petronas Bahagian III.)  

Mereka hanya nampak Melayunya.


No comments: