Thursday, March 17, 2011

Masyarakat civil, bersatulah!


Menyatukan tenaga, membawa pembaharuan


Kita berdepan dengan begitu banyak sekali kemelut, isu, masalah ― malah tragedi yang perlu ditangani segera. Kita seolah-olah tidak ada kekuatan, tenaga dan upaya untuk melakukan semua itu.  ‘Kita’ di sini merujuk kumpulan NGO madani yang mahu memperjuangkan ‘segala kebaikan’ masa depan, rakyat dan negara ini.

Jika ada yang meminta supaya disenaraikan tiga masalah besar kita, apakah TIGA masalah besar itu?  Ya, mengikut pandangan tuan,  apakah masalah terbesar kita?


1.0 Apakah TIGA masalah besar kita?

1.1 Pemerintahan yang buruk

Masalah paling besar ialah kita memiliki pemerintah yang sangat buruk.  Sekarang ini kita memiliki rangkaian tiga serangkai yang kini mempengaruhi pemerintahan negara ini: Umno 1Malaysia, Mantan PM dan NGO Perkasa dan ala-alanya.

1.2 Terperangkap oleh sistem yang telah rosak, yang sudahpun melt down

Kita berada dalam satu sistem yang sudah sekian lama mencair, ‘melt-down’ akibat pelbagai perbuatan yang selama ini, tidak pernah kita berikan perhatian yang serius untuk perbaiki/tegur.

1.3 Kita memusuhi diri kita sendiri  

Masalah terbesar lain yang tidak kurang pentingnya ialah ‘kesihatan tubuh badan kita’ sendiri sebagai satu kelompok.  Dengan pelbagai tindakan kita selama ini, kita seolah-olah telah memusuhi diri kita sendiri.  Kita telah memilih untuk membawa diri masing-masing mungkin kerana tidak bersetuju/sealiran atau mungkin juga kerana agenda yang berbeza-beza dengan kumpulan NGO yang lain-lainnya.

Atau adakah kita tidak berminat untuk bergabung tenaga?

Pendek kata, kita juga sedar bahawa kita berpecah belah.

2.0 Apakah yang dapat kita lakukan?

Apakah kita tidak mampu menumpukan perhatian kita kepada isu-isu sebenarnya?  Apakah kita tidak dapat memfokus masalah-masalah utama yang kita hadapi ini dengan penuh ketenangan dan dada yang terbuka?

Apakah kita tidak mampu usahakan?  Apakah kita mahu duduk semeja?

Jika jawapannya ialah kita masih lagi mampu duduk bersama, maka apakah yang kita tunggu-tunggu lagi.  Apakah kita tidak boleh duduk bersama untuk menyenaraikan perkara-perkara besar yang secara kecil-kecilan, dapat kita gerakkan bersama?

3.0 ‘Interlok’ sebagai contoh

Novel penuh kontroversi ini dapat memperlihatkan bagaimanakah kita semua bertindak.  Antara lain insiden ini memperlihatkan:

i) Bagaimana kita,  sebagai satu kelompok,  tidak terdaya membina kesepakatan jitu demi untuk menjuruskan tindakan bersama kita.     

ii) Kita telah gagal mengutamakan manakah yang lebih utama

iii) Kita telah dikelabui oleh isu-isu sampingan yang menguraskan tenaga kita yang berharga.     

iv) Kita tidak ada pemimpin yang ‘disegani’  untuk kita jadikan moderator Gerakan bersama.


Adakah faktor-faktor lain yang terlintas dalam kepala kita?


4.0 ‘Ketakutan’ dan ‘kegelapan’ masih menjajah perasaan rakyat

Faktor ‘ketakutan’ kepada yang tidak diketahui walaupun TIDAK rasional@waras telah sekian lama mencengkam kehidupan rakyat jelata, lebih-lebih lagi mereka yang tidak terdedah kepada maklumat-maklumat yang bukannya dari sumbernya Umno/BN.  Inilah modal terbesar Umno/BN.   Masalah ini mestilah diatasi dengan segera, dengan sistematik dan berterusan. 

Rakyat sentiasa ditakuti supaya mereka tidak berupaya bebas, merdeka ― baik dari segi manupulasi emosinya maupun cengkaman ekonominya.  Mereka takut,  maka kerananya mereka menjadi hamba kepada yang berkuasa.  Ketakutan yang tidak berasas itulah yang menjadi modal terbesar Unmo/BN.

Faktor ‘kongkongan’ rakyat jelata oleh kegelapan, dan sentiasa saja diselubungi oleh maklumat yang salah sehinggakan mereka ber’gelap gelita’ dan terpisah jauh daripada maklumat yang tepat juga faktor yang dominan dalam masyarakat sehinggakan rakyat jelata kita boleh dicucuk hidungnya semahu-mahunya seperti ternakan. 

Rakyat,  khususnya di luar bandar dan estet ― rata-ratanya ‘jahil.’   Ini juga mestilah kita atasi dengan tuntas.  Mereka mestilah dicerahkan dengan maklumat yang tepat, benar dan dimerdekakan daripada segala macam pasung dan gari kegelapan dan kejahilan itu.

Bila lagi kita mahu duduk semeja?



No comments: