Friday, March 18, 2011

Pemikiran besar pemimpin

Kehidupan bersendikan "Cari-Makanisme'


Apabila yang apanamanya pemimpin besar membina falsafah bahawa “bangsa yang kukuh ekonominya@kaya pasti dihormati” apakah ramai dalam kalangan kita, khususnya para penulis yang akur dengan premis pemikiran seperti ini?

Apabila orang-orang bisnes berlumba-lumba merebut pelbagai jawatan dari parti yang sedang memerintah, apakah para penulis tidak merasakan ada sesuatu yang kurang sihat sedang berlaku?

Apabila ada dalam kalangan parti ― yang hidup-matinya hanyalah berpaksikan Quran dan hadis,  galak memberikan justifikasi bahawa tidak salah jika ada saf-saf kepimpinan yang mahu membawa gaya hidup yang ‘sedikit’ elitis dan mewah,  apakah para penulis yang kental roh “Islamnya”  tidak merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang berlaku?

(Ya, gaya hidupnya bukanlah terlalu berlebih-lebihan, cuma ‘sedikit’ mewah dengan rumah barang sejuta dua dan armada berkudanya cuma dua tiga buah kereta jenama mewah.) 

Kadang-kadang ada sedikit hujahnya, “Bukankah bagus jika kita, (sebagai pemimpin Islam) juga dilihat kaya dan mampu?


ii.


Apabila ramai, termasuk juga para penulis, berhujah bahawa ‘perjuangan tetap perjuangan, tapi (di sini juga ada tapinya...) shhoruu mesti dijaga’, maka kita pun teringat kepada back-hoe yang saban waktu begitu asyik sekali memagut-magut tanah.  Ramai yang mengenali mesin itu sebagai ‘cari makan.’

Kalaulah begitu keadaannya, bolehkah kita ibaratkan “Segala manusia yang sangat teliti dan begitu waspada dengan hal-hal cari makannya adalah back-hoe.” 

Ya, back-hoe  yang pada kebiasaannya,  dipandu oleh Ah Hong, Ah Heng dan Ah Kow itu?



No comments: