Lagi tentang masjid
“Masjid kita tidak lagi menjadi masjid...” seorang kawan, merungut.
Saya tidak memberikan respons.
“Lebih dari masa-masa tertentu, masjidnya ditutup rapat, dikunci. Semalam pukul 9.30 malam, semuanya telah dikunci termasuk, serambinya sekali. Yang tidak dikunci ialah tangganya. Di pintu masuk kawasan masjidnya, tercokoh jaga berpakaian lengkap sebagai pegawai yang menjaga keselamatan seluruh.”
Dipendekkan cerita, teman ini tidak boleh sembahyang kecuali di atas tangga yang cukup lebar nntuknya berdiri dan sujud.
Pada hemat saya, ada sesuatu yang tidak kena dengan telatah teman ini. Mungkin dia telah memasuki kawasan masjid itu dengan cara yang TIDAK betul. Dia tidak ‘mendaftarkan dirinya’ dengan memberi salam terlebih dulu. Atau mungkin dia tidak memaklumkan dengan jelas bahawa dia musafir, mampir untuk bersolat.
ii.
Perlahan-lahan, tapi nyata inilah sebahagian daripada kehidupan hari-hari depan yang bakal kita lalui. Ini semua akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita pada hari-hari muka. Apa pun perasaan, tanggapan, bacaan atau pandangan kita, itu semua tidak begitu penting. Yang lebih utama ialah kita perlu belajar untuk menerima semua peristiwa serupa ini, dengan penuh kesabaran dan kepala yang dingin. Tanamkan di dalam kepala dan benak bahawa semua ini bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Pada hari-hari muka masjid adalah rumah awam yang dikawal rapi oleh santri, jaga dan peraturan. Masjid itu tidak boleh lagi menerima tetamu kerana tetamunya mungkin juga maling yang mahu mengambil kesempatan daripada keterbukaan rumah Allah.
iii.
Dan kita hanya mampu melihat, dari luar garisan ― bagaimana segala peraturan, jaga@guard berseragam dan segala macam bentuk pengurusannya itu, melandai institusi yang namanya rumah Allah itu?
Atau ada soalan-soalan lain yang lebih bijaksana, waras dan tepat yang sewajarnya kita tanyakan?
No comments:
Post a Comment