Sunday, March 20, 2011

Paul: Sang Penyelamat

“A Government that robs Peter to pay Paul can always depend upon the support of Paul”
George Bernard Shaw.

Ertinya: Sesebuah pemerintah yang merampok Peter untuk membayar Paul, sentiasa saja mengandalkan sokongan Paul.  

Dipetik daripada “ Take it personally: How globalisation affects you and powerful ways to challenge it” Anita Roddick, sebuah ‘buku panduan tindakan untuk para pengguna yang peka’, halaman 196.

Kita semua faham bahawa Peter dan Paul wujud dalam semua negara.  Peter mungkin saja rakyat jelata yang jauh dari tampuk kuasa; di Kuala Sedeli, Sungai Limau, Yan, atau mungkin saja di Jeli.  Mereka ini boleh jadi rakyat terpencil yang selalu mendengar, menonton dan mungkin membaca tentang Penguasa yang menguasai mereka melalui pemerintahannya.

Maka apabila sesebuah Pemerintah itu amat bersetuju dan begitu sekali beria-ia, malah bermati-matian pula berhujah melalui pelbagai saluran maklumat yang dikuasainya, untuk mengabsahkan sesuatu tindakannya yang kontroversial, tentulah wujud sebab musababnya.


ii.

Ya, dalam konteks ini kita ingin mengambil contoh kebenaran dan larangan berjudi,  yang tiba-tiba saja menjadi panas.  Bagi pihak yang yakin dan mahu melihat judi itu sebagai salah sebuah lambang kebebasan manusia, maka hujah yang benar, tepat lagi jitu ialah dengan meminjam cop hak dan kebebasan manusia. 

Manusia berhak mengurus hidup dan kehidupannya; termasuk hak dan kebebasannya untuk berjudi.


iii.

Bagi kita aspek-aspek seperti pro dan kontra judi atau segala hujah dan pendekatan yang diambil dalam menangani isu judi ini, termasuklah hujah sekular vs agama, hanyalah decoy yang ampuh, tipu helah, silap mata Pemerintah yang boleh menguraskan tenaga semua pihak, khususnya pihak Oposisi.

Di sebalik segala hu-ha hu-hanya isu judi ini, ada lagi agenda yang jauh lebih besar.  Jika kita pinjam istilahnya Bernard Shaw di atas, Paul itu termasuklah antara lain,  para cokong judi yang sentiasa saja diandalkan oleh Pemerintah, sang P itu.

Paul itu penyelamat, lebih-lebih lagi tatkala mahu memenuhi kantong ‘pertempuran’ yang jauh lebih besar: Pilihan rakyat dalam menentukan siapakah Sang P itu,  selepas PRU13 nanti.



No comments: