Friday, March 4, 2011

Sensitif kepada siapa?

“Minda Pengarang: Kerajaan perlu bertindak tegas pihak politikkan organisasi ketenteraan — Berita Harian
March 03, 2011

3 MAC — Apa saja berlaku akhir-akhir ini, pasti akan dipolitikkan oleh pembangkang termasuk dalam soal pembelian kelengkapan ketenteraan dan aset pertahanan negara. Tindakan mereka yang mahu mengheret pasukan tentera ke kancah politik dengan mendakwa pasukan tentera tunduk kepada tekanan politik adalah perbuatan tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan kredibiliti pasukan itu.

Hakikatnya, tugas utama tentera adalah mempertahankan negara dan menyokong usaha kerajaan yang memerintah. Soal keselamatan dalam negara tidak boleh dikompromi, malah proses memperkukuh pasukan tentera dan meningkatkan kesiapsiagaan anggota perlu diteruskan walaupun ketika senario dalam negara dan peringkat serantau aman.

Justeru, mengabaikan proses itu bermakna kita memperjudikan nasib bangsa dan negara ketika negara lain menyediakan peruntukan besar membina kekuatan ketenteraan. Walaupun Malaysia menjunjung konsep zon aman, bebas dan berkecuali, tidak bermakna kerajaan tidak perlu berbelanja menyediakan logistik dan membeli senjata baru, selain menaik taraf persenjataan sedia ada.”

...


“Bagaimanapun, sesi perbahasan di Dewan Rakyat kebelakangan ini, menyaksikan ada wakil parti pembangkang menggunakan hak dan imuniti yang diberi Dewan Rakyat untuk menggoyahkan kredibiliti dan profesionalisme Kementerian Pertahanan. Isu kapal selam dibangkitkan tahun lalu seperti ada niat jahat di sebaliknya.

Terbaru, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua, mendakwa pembelian enam kapal OPC oleh Kementerian Pertahanan lebih mahal berbanding negara lain. Agak menghairankan, beliau enggan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaannya itu, sekali gus menimbulkan persoalan niat sebenar Ahli Parlimen pembangkang itu.

Sudah sampai masa kerajaan bertindak tegas terhadap individu sebegini yang cuba mempolitikkan organisasi ketenteraan serta institusi pertahanan negara secara tidak bertanggungjawab. — Berita Harian”

____________________________________

Ada beberapa perkara telah terpacul daripada minda pengarang sebuah akhbar-yang-sekian-lama-berlegar-legar-dalam-kelambu-rakyat ini, yang menarik perhatian kita.  Cuba kita senaraikan dan, terserahlah kepada tuan-puan untuk menghadamnya. 
Isi pokok yang menarik itu antara lain, termasuklah:


Pertama:  Pembangkang akan politikkan ‘apa saja’

Apakah ini bermakna bahawa pembangkang perlulah mendapat restu Umno yang memerintah sebelum sesuatu isu itu boleh ‘dipolitikkan’?

Kalau kita tidak salah, salah satu daripada sekian banyak peranan dan tanggungjawab sesebuah parti politik ialah untuk menjelaskan dasar dan perjuangan parti politik itu kepada para pengundi di negara ini.      

DAP yang sosialis dan sekular akan mengatakan bahawa itulah dasar yang terbaik untuk rakyat negara ini.  Mengikut kefahaman kita, ini bermakna DAP memperjuangkan kesejahteraan rakyat negara ini tanpa mengira keturunan, bangsa, warna kulit dan agama.  Untuk membuktikan bahawa perjuangannya sangat merakyat, para pemimpinnya tidak digalakkan menerima anugerah dan gelaran.  Pegangan yang sebegini bukanlah luar biasa.  SM Idris,  President CAP juga berpendapat, “Kenapa kita mahu pengiktirafan dan gelaran.  Kita buat apa yang kita perlu lakukan.”   

Pas pula sebagai sebuah parti yang mengangkat Islam sebagai teras perjuangannya, tentulah melihat politiknya mestilah selari dengan tuntutan agama itu.  Ini bermakna,  jika ada perkara-perkara yang tidak Islamik, Pas akan membantah. 

Perbedaan-perbedaan dasar Pas dan Dap ini yang oleh Umno dilihat sangatlah maha-besar-dan-sama-sekali-tidak- serasi ini,  telah bertahun-tahun dijadikan hantu raya oleh Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu.  Apabila semakin ramai orang-orang Melayu yakin bahawa itu bukanlah hantu raya,  tetapi cuma makhluk yang bernama Tony Pua, mereka tidak lagi takut dengan politiknya DAP. 

Begitu jugalah dengan gempar-dan-gertak Umno terhadap orang-orang bukan Melayu ― bahawa dalam serban pemimpin Pas itu wujud fanatisme dan pelampauisme yang sarat, mereka menjadi gentar.  Namun berkat doa, usaha dan keyakinan yang tinggi lagi ulet, semua usaha Umno ini telah gagal.  Rakyat percaya itu semua ― hanyalah temberang Umno/BN semata-mata.

Oleh sebab itu kita mengajak Umno berfikir dalam-dalam apabila mengangkat ungkapan mem‘politikkan apa saja’ apabila berhujah.  Ini bukanlah satu hujah yang berkesan untuk diulang-ulangi.   Umno tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik ungkapan umum seperti ini. 

Kalau di pakai dalam karya-karya sastera pun, ia sudah tidak menarik lagi kerana sudah hilang ummphnya, seninya ― sudah basi.  

Jadi kita bolehlah kupas dengan lebih lanjut apakah makna:

Kedua: Apakah sebenarnya makna ‘mempolitikkan’ sesuatu isu itu? 

Ketiga: Siapakah sebenarnya yang diberikan ‘kuasa mutlak’ untuk menentukan bahawa sesuatu perkara itu boleh atau tidak boleh dan oleh sebab itu dikelaskan sebagai ‘sensitif, demi kepentingan negara, demi keselamatan negara’ itu? 

Dalam konteks ini apakah sebenarnya tugas, tanggungjawab dan peranan misalnya kerajaan atau parlimen, hatta rakyat jelata sekali pun?

Adakah ini peranannya kabinet dan para menterinya semata-mata?

Adakah garis panduan tertentu yang menentukan atau mengkelaskan bahawa soalan-soalan begini atau begitu yang dibangkitkan oleh seorang ahli parlimen itu,  sensitif dan oleh sebab itu menjadi taboo?


ii.


Maka apabila ada seorang keturunan Cina, rakyat Malaysia yang kebetulan bernama Kua Kia Soong menulis sebuah buku yang berjudul, “ Questioning Arms Spending in Malaysia” Suaram 2010, antara lain merumuskan bahawa:

“Malaysia’s frenzied arms race spending and the underlying arms race among the Asean states brings to mind...” (halaman 147) itu sesungguhnya sensitif dan mestilah disekat?

Apakah bentuk soalan@pandangan seperti:

“For too long, the military has been spared public scrutiny under the guise of ‘national security’.  Kua’s well researched book is bound to ignite public debate and outrage.  It confirms the major policy shifts are needed, both in terms of transparency as well as a paradigm shift in how we think of security. A must read! “   Pramesh Chandran, CEO Malaysiakini  (blurb buku)           

sangat-sangat memudharatkan? 

Pandangan yang memudharatkan siapa sebenarnya?



No comments: