Pengalaman sebenar Bersih 2.0: Bahagian Kelima
“Kita telah hilang satu peluang yang cukup baik. Kita rugi besar kerana peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi. Rugi kita kerana tidak merakamkan seluruh peristiwanya. Bayangkan Pak Samad 75 tahun turut dibedal serangan gas di KL Sentral, berjalan kaki ke Stadium Merdeka dan akhirnya ke Istana Negara.” itu yang Dinsman ucapkan berulang kali kelmarin 14 Julai 2011 semasa kami dalam perjalanan untuk bermesyuarat dengan Puan Mastura, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Shah Alam (PPAS).
“Dalam kelam kabut itu, kami teringat ― di manakah Pak Samad?” demikianlah yang diceritakan oleh Ambiga, Pengerusi Bersih 2.0 dalam mesyuarat post mortem kami di Selangor Chinese Assembly Hall, pada 11 Julai 2011 jam 9.15 malam.
Pak Samad yang kehilangan capalnya semasa huru hara serangan pas pemedih mata di KL Sentral berjalan, ya berkaki ayam sebelum dipinjamkan sepasang kasut sukan oleh seorang anak muda berbaju pinang masak.
Sesungguhnya Pak Samad yang dikerumuni pelbagai lapisan rakyat adalah bintang yang telah mewarnai Bersih 2.0. Pelbagai tempat ― di pintu masuk Stadium Merdeka, di kawasan menuju ke Istana Negara dan perkarangan Hotel Midah, telah menjadi pelbagai lokasi sesi-sesi berpotret bersama para peminatnya. Semasa di depan Stadium Merdeka dia berulang kali duduk dan bangun untuk memenuhi acara pada petang itu. Ada pemberita yang mahu mendengar dan merekodkan reaksi serta pengalamannya. Ada kawan-kawan yang prihatin melihatnya meredah suasana yang sedemikian.
“Amni kau mesti dekat-dekat dengan Pak Samad.” pesan Hasni berulang kali. Sementara itu Aru tidak pernah lekang daripada Sasterawan Negara ini.
Di Lebuh Raya, di sekitar padang lapang dan juga di cerun-cerun bukit menghala ke Istana Negara, Pak Samad dan rombongannya dikepung dan diancam dengan penuh semangat sekali. Kami dihalang dan dihalau kerana menjadi orang-orang yang tidak dikehendaki, persona non grata. Episod melibatkan Pak Samad ini telah dirakamkan oleh Cikgu Azmi Hamid...
Kenyataan Media TERAS
10 hb Julai 2011
TERAS KESAL POLIS HALANG MEMO DISERAH DI ISTANA NEGARA
TERAS menyatakan kekesalan terhadap tindakan polis yang menghalang memorandum yang hendak diserahkan di Istana Negara dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kelmarin.
Bukan sahaja polis telah bersikap kasar dan keras terhadap Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said, malah mengugut akan bertindak dengan kekerasan jika beliau dan sekitar 20-30 orang pengiring beliau tidak beredar. Polis menunjukkan ugutan dengan mengepung Datuk A. Samad Said dan pengiring oleh sekitar 30 orang FRU.
Ketika Datuk A.Samad Said dan saya cuba berunding dengan dua pegawai polis untuk menerangkan bahawa penyerahan memorandum tersebut adalah atas persetujuan KDYMM YDP Agong sendiri. Pegawai berkenaan sama sekali tidak mahu mendengar malah dengan nada keras dan kasar mengarah kami beredar. Malah kami menyatakan hanya 3-4 orang sahaja yang akan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, namun tetap ditolak.
Pegawai tersebut hanya mengatakan mereka menerima arahan dari pihak atas bahawa kami tidak dibenarkan untuk ke Istana Negara. Padahal Datuk A.Samad Said menjelaskan persetujuan KDYMM YDP Agong adalah juga titah yang kami ingin tunaikan, kerana mengikut peguam yang turut mengiring kami (yang juga seorang ahli jawatankuasa BERSIH 2.0), pihak Istana bersetuju untuk menunggu penyerahan memorandum tersebut pada jam 4.00 petang di Istana Negara.
Sikap dan tindakan polis yang bercanggah dengan titah KDYMM YDP Agong adalah amat dikesali dan Ketua Polis Negara serta Menteri yang berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis yang terbabit.
Kami membantah keras terhadap sikap polis tersebut dan akan menyampaikan aduan rasmi kami kepada KDYMM YDP Agong mengenai kejadian yang telah berlaku.
Kami menggesa polis yang nampaknya hanya menerima arahan dari kepimpinan kerajaan dan parti yang memerintah supaya mengkaji semula fungsi dan arahan yang diberi kepada anggota pegawai bawahannya supaya maklum terhadap keputusan yang telah diambil dan disesuaikan dengan persetujuan yang telah dicapai dalam perundingan dengan KDYMM YDP Agong.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
No comments:
Post a Comment