Pengalaman sebenar Bersih 2.0: Bahagian Keempat
Di sekitar stesyen Maharaja Lela, sosok-sosok manusia berseragam biru pekat itu kelihatan lagi; ada yang mundar mandir, ada juga yang tercegat meneliti suasana sekeliling. Semasa kami menyeberangi jalan menuju Stadium Merdeka, mereka tidak mempedulikan sesiapa pun. Aku juga tidak berusaha untuk memerhatikan tampang-tampang itu kerana bagiku, lebih afdhal jika tidak dicerap saja wajah mereka ini.
Bukankah sudah begitu ramai sekali manusia di buana ini yang cukup terdera dengan tingkah manusia-manusia berseragam menjadi serigala? Sudah berapa ramai manusia di buana ini yang tidak dapat melupakan mimpi-mimpi ngeri berdepan dengan manusia yang berseragam seperti ini. Aku tak akan melupakan visual lelaki berbaju biru muda, serbannya kain berpetak yang tumbang di lantai konkrit dan diselubungi pula oleh kepulan gas pemedih mata (alangkah pedihya dan sakitnya gas itu!!) ― lalu kemudiannya...astagfirullah ― diterkam dan ditendang ― berulang kali dengan sepatu yang dibeli dengan duit rakyat ― yang membayar cukai. Bagiku itu adalah visual yang cukup menderakan...
Mimpi-mimpi ngeri seperti ini tidak dapat melawaskan masa istirihat segala manusia yang normal. Hanya yang membesar bersama gerombolan serigala saja yang dapat meremehkan semua ini.
Di depan Stadium Merdeka, seorang wanita India sedang menangis sekuat-kuat hatinya. Ramai yang meluru dan berkumpul untuk mententeramkan keadaan. Entah siapa dan bagaimana wanita itu dibawa keluar kemudiannya, aku tidak pasti. Yang kutangkap ialah nada serak bergema Datuk Abu Bakar Chik, menggumam “Orang tua seperti itu sedih dan sayu dengan apa yang berlaku...” Pemimpin Pas Terengganu ini juga turut berpidato kepada khalayak.
Sementara itu kumpulan manusia yang telah melimpah ke jalan raya, masih juga berhimpit-himpit untuk maju ke arah pintu Stadium Merdeka. Bimbang juga aku semasa dihimpit-himpit, didorong-dorong, ditolak-tolak begitu oleh khalayak. Bimbang aku tatkala melihat seringai bengis pagar berduri yang memisahkan khalayak dengan mereka yang berseragam biru pekat. Aku takut. Aku takut kerana pagar berduri bengis itu tak pernah, walaupun sesaat menutupkan gigi-gigi piranhanya. Ya, gigi-giginya itu betul-betul tak ubah seperti gigi-giginya ikan buas belantara Amazon ― kecil-kecil, berkilat-kilat seperti mata gergaji kecil yang baru diasah. Gigi-gigi itu tekun sekali dan terus saja mengintai-intai apa saja yang berani menyentuhinya.
“Tuan-tuan, kita akan berunding dengan pihak polis untuk membenarkan kita masuk ke kawasan Stadium sebelum ke Istana Negara...”
“Duduk, duduk. Yang di depan ― duduk!!!”. Benar, ramai juga yang ikut duduk di atas jalan beraspal yang masih basah itu. Namun ternyata usaha untuk mengatur seluruh khalayak duduk, sukar dilaksanakan sepenuhnya. Hujan telah membasahi bumi.
Dari arah jalan raya, tiba-tiba suasananya kembali bising dan hingar sekali...
“Pak Samad, Pak Samad...Pak Samad..”
“Oh, Pak Samad, you are my hero!!!” seorang gadis India begitu teruja ― Sasterawan Negara itu sudah berada di situ. Dia diringi Aru ― Arumugam dari Suaram.
“Pergi mampus kamu polis, pergi mampuuuuus!!! Mampus kamu semuuuaaa” seorang lelaki berpakaian kemas, berkaca mata tiba-tiba saja menjerit-jerit.
Hasni yang berada di sebelahku meluru, lalu menepuk bahu lelaki yang penuh gaya itu, “kamu SBkah, SBkan??”
“Hoi...SB menyamarkah?” aku juga tumpang sekaki.
Kami berdua yakin itulah di antara pelesit yang dipelihara untuk menyusup dan menggagalkan perhimpunan yang aman.
Benar, entah bila lelaki itu beredar.
No comments:
Post a Comment