Wednesday, July 13, 2011

Pengalaman sebenar Bersih 2.0 Bahagian Ketiga

Pengalaman sebenar Bersih 2.0 Bahagian Ketiga


Dalam perjalanan menuruni cerun, ku terpandang telatah seorang Ah Moi, lagi bersusah payah mahu mengenakan baju hujan kuningnya. Aku tidak boleh membiarkannya anak gadis ini menjadi mangsa, demikianlah yang terlintas dalam hati.

“Nak pakai juga baju hujan kuningnya? Semua yang kuning-kuning mereka tangkap...”

“Yakah?” dia kelihatannya,  sedikit terkejut.  Namun baju hujan kuning yang belum dipakainya dengan sempurna itu cepat-cepat ditanggalkannya lalu dibungkus dengan kain berwarna putih. Sudah bersedia rupanya anak gadis ini dengan bungkusan untuk menyembunyikan barang yang terlarang.

“Sudah hampir seribu ditangkap” Dinsman membaca pesanan ringkasnya yang terbaru.  Aku  teringat kata-kata Cikgu Azmi tadi,  semasa kami nongkrong di Warung Rakyat.  Saran Presiden Teras ini, “Bagaimana kalau kita kumpulkan sukarelawan yang mahu merelakan dirinya ditangkap?”   

Rasionale cukup mudah.  Oleh sebab Umno melalui Menteri Dalam Negerinya begitu beria-ia dan berselera sekali mahu menangkap rakyatnya yang berhimpun meminta pilihan raya yang adail, bebas, telus dan terbuka, maka elok juga jika kita beramai-ramai menyerah diri untuk ditangkap.

“Bayangkan kalau kita mendapat ribuan sukarelawan ― untuk ditangkap!”  ujar Cikgu Azmi.   

“Masih ingat peristiwa air mata Kerpan?  Waktu itu saya berkata kepada pihak polis, kami rela ditangkap daripada membiarkan jentolak-jentolak itu meratah bendang mak-mak miskin ini!!” cikgu Azmi meneruskan ceritanya.

“Betul,  saya ditangkap dan terpaksa tidur beberapa malam di dalam lokap.  Mak Cik-Mak Ciknya  juga turut ditangkap. Namun ada peristiwa susulan yang cukup menarik: Setelah mengurung Mak Cik-Mak Cik itu, pihak polis menjadi pening kepala.

Pihak kepolisian bingung kerana para Mak Ciknya tidak mahu makan ― “kecuali Cikgu sendiri yang berikan mereka makanan.”

“Kami tak lapar makan benda haram mereka!!!”

Air Mata Kerpan adalah kisah nyata di Kedah.  Umno Kedah dan mantan Perdana Menteri dan juga mantan Menteri Besar Raup masih lagi hidup untuk melihat hasil perbuatan mereka yang zalim terhadap rakyat.

Dalam PRU 12 yang lalu, Umno Kedah telah dihumban ke  dalam longkang sejarah.

Najib dan sepupunya yang gagah dengan keris telanjang itu, silalah belajar dan berikan perhatian.

Kamu mungkin saja kelihatan gagah perkasa dengan segala aparat dan pecacainya.  Percayalah,  sebenarnya rakyatlah yang jauh lebih gagah dan lebih ulet.

  

No comments: