Martabat anjing
“Lelaki ― semuanya anjing!”
Itu adalah di antara kata-kata yang diucapkan Suzanna, pelacur yang terdera zahir batinnya dalam “Bernafas dalam Lumpur” (Longest Dark, The) buah tangannya Turino Djunaidy untuk P.T. Sarinade Films dalam tahun 1970. Seperti umumnya di zaman itu, watak jahatnya atau sang bajingannya dibawakan oleh Farouk Afero.
Di kutub yang lain, anjing itu peliharaan yang sangat kasihkan tuannya. Sifat setianya menjadi satu kekuatan yang sukar ditandingi. Kita dapat meneliti kesetiaan ini misalnya dalam filemnya Richard Gere, “Hachi: A Dog’s Tale.” Sehingga mati Hachi, sang anjing itu menunggu tuannya yang sudah lama dibawa pulang oleh Maha Penciptanya.
ii.
Manusia, khususnya Sang Pemerintah sebagai pengamat yang tekun sedar tentang kelebihan sifat-sifat keanjingan ini. Oleh sebab itu untuk menjaga keselamatannya ― Sang Pemerintah misalnya menyimpan, menternak dan memelihara gerombolan anjingnya sendiri.
Anjing-anjing inilah yang kerap sekali digunakan untuk menyergap rakyat yang diperintahnya. Anjing digunakan untuk menakut-nakutkan Ketua Pengarah yang berani, telus, lurus, tekun dan pro-rakyat. Ketua pengarah yang degil diturunkan pangkatnya.
Bagi mereka yang miskin, anjing tidak begitu berkesan kerana orang lapar tidak begitu pedulikan anjing. Perut yang kosong tidak akan pedulikan anjing-anjing yang garang. Untuk ditenteramkan mereka cukup ayem dengan sekeping dua kepala agung. Kepala agung sangat laku dalam musim pilihan raya (atau pilihlah jalan raya!)
Jadi kita jangan terperanjat jika kemiskinan itu juga sebenarnya satu bentuk industri canggih demi untuk mengekalkan kuasa. Manusia yang urban atau manusia bandar tidak takut kerana mereka merdeka; ertinya mereka merdeka daripada sebarang bentuk kelaparan fisikal. Mereka tidak takut kelaparan.
Untuk menangani masalah orang-orang bandar ini, Sang Pemerintah perlu fikirkan kaedah lain untuk menyergap orang-orang bandar.
Mungkin semacam putar belitnya ― itu Sang Kutty, tuduh saja mereka ini rasis dan pemecah belah perpaduan walaupun yang sebenarnya ‘dianya’itulah penternak ulung dan cukup terkenal dengan perkauman cap pekasam.
iii.
Mereka yang dambakan kemerdekaan yang tulen tidak boleh jadi miskin dan sentiasa kelaparan. Pastinya mereka juga tidak boleh sama sekali takut kepada segala macam anjing, termasuk Rotweiler yang kerap menyalak di Parlimen.
No comments:
Post a Comment