Monday, April 11, 2011

Bahasa dan cari makan

Bahasa, budaya, jati diri dan cari makan


Semalam semasa di Markas Pas di Taman Melewar,  Hasni dan saya sempat juga bertanya langsung kepada Cikgu Mohd Nordin Mahmud, 74 mantan Presiden Korperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) bagaimana para guru generasinya menghayati dan memperjuangkan bahasa ibundanya; bahasa Melayu ketika itu.  Kata Cikgu Nordin pada tahun-tahun 1950-1955, guru-guru Melayu telah mendermakan 1% daripada gajinya setiap bulan selama lima tahun untuk menubuhkan kerusi pengajian Melayu Universiti Malaya.  Waktu itu universiti itu masih lagi di Singapura.   

Hujah mantan guru ini sangat mudah: Siapa lagi yang mahu menghidupkan bahasa dan budaya sesuatu bangsa itu jika para cerdik pandai dan pemimpin bangsa itu tidak mempedulikan bahasanya sendiri?


ii.


Di negara ini percakapan tentang perjuangan bahasa dan budaya tidak lengkap andaikata kita melupakan perjuangan para aktivis yang bergabung di dalam LLG (Lim Lian Geok) Cultural Development Centre.  Seingat saya teman saya Lee Ban Chen, salah seorang Timbalan Presiden Budayawan Bertindak,  tidak pernah mengatakan bahawa untuk maju dalam kehidupan ini orang-orang Cina mestilah melupakan bahasa dan budaya mereka.  Dan tentunya orang tidak mungkin terlupa bahawa akar dan jati diri sesuatu bangsa itu termasuklah bahasa dan budayanya.  Bagi Ban Chen akar bahasanya adalah Mandarin dan di dalam tubuhnya itu mengalir zuriat dan keturunan Cinanya.  Apakah dengan berkata demikian, rakyat kita seperti Ban Chen ini telah turun darjatnya sebagai rakyat yang setia?  Darjatnya sebagai warga negara yang taat dan setia itu telah merosot kerana dia mencintai dan mengamalkan bahasa dan budaya Cinanya?   

Setelah menyatakan itu semua apakah ini mengurangkan cinta kasihnya kepada bahasa Melayu@Malaysia?  Apakah dia tidak boleh menjunjung hal-hal yang termaktub dalam perlembagaan kita berhubung bahasa rasmi negara?


iii.


Dalam kalangan para juara dan pejuang pendidikan ― paling tegar pendiriannya bahawa bahasa Inggeris itu semestinya dimartabatkan ialah PAGE.  Khabarnya mutakhir ini, seorang penguasa besar Universiti Malaya juga berpendapat bahawa bahasa Inggeris yang maha penting kerana keglobalannya itu,  mestilah didarjatkan semula.    


iv.


Bukankah senario di atas memperlihatkan bagaimana pelbagai kelompok itu melihat isu-isu pokok seperti penguasaan ilmu, proses mencari makan, khazanah bahasa, akar budaya dan jati diri bangsa itu.  Lihatlah tingkah lakunya guru-guru Melayu zaman 50an dan bandingkan dengan pemimpin pusat pengajian tinggi (baca: Bukannya pengerusi JKKK Kuala Pahang) dalam membicarakan hal-hal asas pembinaan sebuah negara-bangsa itu.

Tidakkah kita melihat bahawa ada yang sangat tempang dalam sistem yang menyelimuti minda dan jiwa kita selama ini? 

Apakah yang terjadi dengan kita ― sebagai satu bangsa? 

Atau apakah wujud yang muluk-muluk ― namanya ‘bangsa’ dan ‘negara-bangsa’ itu?
  



   

No comments: