Bersih 2.0 gesa Najib ikut langkah Tunku, ambil cuti kempen
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
April 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menasihatkan Datuk Seri Najib Razak lebih pentingkan masa depan Barisan Nasional (BN) daripada kepentingan kerajaan ekoran tindakan Perdana Menteri memberikan tumpuan ke atas pilihan raya negeri Sarawak.
Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada negara kerana sanggup berkempen di Sarawak sehingga mengabaikan tanggungjawab menguruskan pentadbiran, yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Najib secara peribadi mengetuai kempen di Sarawak sejak Ahad lalu. Beliau dijangka berada di negeri bumi Kenyalang itu sehingga Jumaat ini.
“Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan mesyuarat Kabinet kerana mahu membantu kempen BN di Sarawak, sebagai seorang pemimpin kerajaan dan BN, beliau telah menunjukkan teladan yang tidak baik kerana tidak mengimbangi antara kepentingan politik dan juga pentadbiran kerajaan.
“Sepatutnya beliau (Najib) mencontohi perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman yang mengambil cuti selama dua bulan untuk berkempen pada pilihan raya 1959.
“Dalam tempoh itu, timbalan perdana menteri Tunku Abdul Razak akan mengetuai pentadbiran negara, kami amat kecewa apabila kedua-dua perdana menteri dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Sarawak untuk berkempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menegaskan pihaknya menuntut agar pilihan raya negeri Sarawak dijalankan dengan telus dan adil.
Bagaimanapun, kata Ambiga, ia agak sukar dilaksanakan selepas pemimin-pemimpin BN termasuk Muhyiddin meminta agar rakyat dan kakitangan awam di negeri itu agar patuh kepada kerajaan.
“Sebelum ini Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Wilso Nyabong Ijang meminta anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) agar memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kali ini.
“Malah timbalan perdana menteri juga mengingatkan guru-guru agar memangkah BN,” katanya.
Justeru beliau menegaskan, mana-mana parti politik sama ada BN atau Pakatan Rakyat tidak mengaitkan antara kepentingan politik dan pentadbiran.
“Bersih 2.0 mahu menekankan parti politik tidak seharusnya mengelirukan rakyat demi kepentingan politik yang berat sebelah.
“Kami mengingatkan pemimpin politik baik BN atau Pakatan Rakyat agar mematuhi prinsip ini,” katanya.
Menurut Ambiga, pihaknya menolak keras amalan “rasuah” termasuk janji-janji pembangunan dengan niat untuk mendapatkan sokongan pengundi di Sarawak.
“Bersih 2.0 mengutuk amalan menawarkan hadiah, wang dan janji-janji pembangunan dengan niat untuk mempengaruhi para pengundi, ini adalah kesalahan-kesalahan pilihan raya.
“Jadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan ini,” katanya.
______________________________
Isu ini pernah kita bangkitkan dalam blog ini. Kita katakan, lihatlah contoh PM yang pertama itu dalam kerja buat pilihan raya ini.
Seperti biasa rakyat hanya melihat semua ini berlaku di depan mata mereka.
Syukurlah, kini kepimpinan Bersih 2.0 telah bangun untuk bersuara.
Ke mana perginya juara-juara hak asasi manusia, badan-badan budaya dan sastera?
Ke manakah membisunya para profesoreee Melayu yang katanya pakar dalam bidang pentadbiran di UUM itu misalnya?
Kenapakah terus-terusan jadi bisu?
No comments:
Post a Comment