Monday, May 9, 2011

Ajarlah orang-orang Melayu membaca yang tersirat

Tidak cukup sekadar membaca.


Sebelum kita pergi lebih jauh, terdapat beberapa soalan tentang ‘kerja-kerja membaca’ dan perkara-perkara berkaitan dengannya yang relevan diteliti.  Mungkin pernyataan (statement) berikut dapat menunjukkan sedikit pespektif tentang ‘kerja membaca’ itu:  

‘Rakyat Malaysia umumnya malas membaca’ ialah salah satu hujah yang kerap kita baca.   Ada yang berhujah dengan memberikan statistik itu dan ini.  Namun ramai juga yang tidak bersetuju lalu berhujah dengan menunjukkan kepada lambakan novel-novel pop yang membanjiri pasaran. Kata mereka lagi lihatlah senarai penerbitnya.  Belum lagi dengan senarai penulis pop ini. 

Ramai yang memprotes dengan standard kualiti kewartawanan Utusan dan para kerabatnya.  Namun masih ramai yang begitu berselera sekali membaham tabloidnya Berita dan juga Utusan.  Masih ramai yang percayakan segala yang dilaporkan oleh Utusan.  Kita tentu masih ingat lagi bagaimana satu ketika dulu, pada zaman dahulu kala orang sering berhujah dengan berkata ini semua benar kerana semua ini dilaporkan oleh akhbar!   Ertinya akhbar itu ibarat kitab yang maha suci ― bebas dari segala macam penipuan dan putar belit.

Atau ini satu lagi pernyataan yang menarik.  Terdapat orang-orang Cina yang tidak dididik (baca: tak tahu) bahasa Mandarin yang secara konsisten (baca:setia) membeli akhbar bahasa tersebut.       

(Sila baca makna tersirat perbuatan ini)

ii.

Kita selalu diperingatkan bahawa ini adalah abad yang ke 21 dengan jolokan muluk-muluk lagi bombastik seperti langit terbuka dan kampung yang maha besar@global.  Sayangnya ada pihak yang begitu gigih sekali mahu menyerkup minda orang-orang tertentu, khususnya orang-orang Melayu di bawah tempurung. 

Kenapakan semua ini terjadi?  Minda yang terkurung sama seperti kemiskinan sangat penting jika mereka mahu terus berkuasa.

iii.

Kita sudah sampai ke tahap yang wajar diberikan perhatian oleh para pemimpin kita, khususnya mereka yang berada dalam kelompok Oposisi.  Mereka mestilah mendidik dan mengajar orang-orang Melayu yang masih setia membaca Utusan Malaysia itu bagaimanakah CARA YANG BETUL membaca Utusan Malaysia.  Kata teman yang masih terlantar di Hospital Pulau Pinang, Sdr Azizi Abdullah: Menjadi kritis!

Ya, ajarlah orang-orang Melayu bagaimana membaca pelbagai makna yang tersirat di dalam Utusan Malaysia. Ajarlah mereka bagaimana cara yang paling betul membaca tajuk-tajuk berita dan juga editorial pengarang.  Ajarlah orang-orang Melayu ilmu ini.

Kita di dalam Kembang yang dipimpin Ahmad Lutfi Othman dan Hasni Abas sebagai setiausahanya akan mengembangkan idea dan proses ini.  Insyallah.



No comments: