Thursday, May 19, 2011

Bila lagi menjadi waras?

Bila lagi para kuasawan kita mahu menjadi waras?


Sesuatu amalan yang diulang-ulangi biasanya akan menjadi kebiasaan yang lambat laun mengukuh dan berakar menjadi tabiat.  Wisdoma Melayu memerikan ini dalam perumpamaan “alah bisa tegal biasa.”  Demikianlah hebatnya pemerhatian dan pemikiran manusia Melayu dalam persekitaran buana Melayunya.     

Ramai kawan yang mengisahkan bagaimana mereka menjadi perokok tegar:  Mereka mengakhiri@melengkapkan setiap sesi makan itu dengan merokok.

ii.

Semasa masih dalam perkhidmatan awam dulu,  bos saya seorang pemimpin besar Jabatan pernah menceritakan pengalamannya menghantar anak tunggalnya ke sekolah.

“Papa jangan berhenti di depan sekolah.  Biar Ellie jalan saja.”     

“Tak ada masalah,  biar papa hantar sampai ke pintu pagar sekolah.”

“Tolong, jangan. Biarlah Ellie jalan saja.”

Bukanlah susah untuk seorang tua seperti bos saya ini mengetahui bahawa Volvo tuanya itulah yang menjadi punca segala masalah. 


iii.

Fenomena ‘anak-anak kita malu kerana bapa mereka tidak berkereta besar’ pada hal ibu bapa kawan-kawannya memiliki segala macam kereta mewah yang mahalnya sangatlah melucahkan, bukanlah suatu kejadian yang terpencil.  Seorang teman yang menghantar anaknya ke sebuah sekolah maha elit di Seremban juga mengalami peristiwa yang sama. Anaknya malu kerana ibu bapa teman-teman sebiliknya datang dengan armada kereta-maha-mewah-harga-melucahkan.  Teman ini bertanya: Bagaimanakah gaji seorang profesor madya boleh menandingi kemewahan para pemimpin politik kita?  

Ya, anak-anak kita seolah-olah diajar ‘miskin’ itu hina yang maha besar dan kereta adalah kayu ukur kejayaan hidup.  Ya, anak-anak kita diajar bahawa menjadi perasuah bukanlah masalah yang besar kerana itulah rezeki orang-orang yang cerdik kerana bijak mendakap kuasa.

Ternyata dunia yang sementara begitu sekali mengelirukan kerana para kuasawan yang rakus itu asyik sekali menghantar mesej-mesej yang salah kepada anak-anak kita.

Bila lagi para kuasawan kita mahu menjadi waras? 



No comments: