Pengakuan see... penyokong tegar Umno
Aku juga pelik kenapakah masih ramai orang, khususnya pihak Oposisi yang bias ― terlalu berat sebelah dalam memilih dan menilai sesuatu peristiwa. Ya, mereka memilih-milih peristiwa untuk melaporkan, kata mereka, tragedi yang menimpa rakyat jelata (kata mereka yang menderita itu termasuklah segala yang melata seperti ular, biawak dan segala macam siput babi. Mereka juga meraup katak kerana mengira katak juga melata). Mereka adalah manusia zalim yang tidak berperikemanusiaan kerana tidak memahami niat baiknya Umno/BN.
Hujah aku yang terbaik untuk menunjukkan belang Opisisi ini ialah kisah kenaikan harga petrol. Mereka putar belitkan harga petrol dunia demi untuk menyatakan Umno/BN sengaja mendera rakyat jelata. Mereka berbohong kerana rakyat secara umumnya tidak terdera. Rakyat gembira kerana mereka juga dapat menyumbang duit ringgit mereka yang sedikit itu demi mengekalkan kesejahteraan negara mereka. Fakta yang begitu terserlah ini sengaja disembunyikan oleh Oposisi.
Untuk makluman tuan, aku tidak pernah merasakan kesan kenaikan harga petrol ini kerana aku tidak pernah ke pasar atau atau pasar malam. Emak akulah yang selalu berbelanja dan membeli belah barang-barang keperluan dapur kami. Cuma, kadang-kadang terasa juga peritnya apabila kawan-kawanku merempit dengan motosikalku tapi minyaknya tak diisi semula.
Ada ura-ura ― katanya RON 95 akan dinaikkkan harganya. Aku tak peduli itu semua kerana sebagai rakyat yang setia dan seorang penyokong tegar Umno, aku TIDAK perlu bayar lebih. Lihatlah betapa hebatnya jika tuan juga menjadi penyokong tegar Umno ― seperti aku.
Sebagai ahli Umno yang tegar aku tak perlu membayar lebih. Kau bertanya kenapa? Betapa tololnya soalan itu: Apakah kau tidak melihat aku penyokong tegar Umno?
No comments:
Post a Comment