Sunday, May 22, 2011

Kuasa tumpulkan rasa

Laman Malaysiakini, versi Melayu:

Pakatan dibidas eksploitasi isu harga minyak
Mei 21, 11 5:27pm

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas Pakatan Rakyat yang didakwanya hanya tahu mengeksploitasi soal kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran sedangkan mereka sendiri tidak tahu mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah itu.

Beliau berkata Pakatan tidak terbeban dengan tanggungjawab untuk menangani masalah berkenaan, kerana itu mereka hanya bijak untuk menyalahkan kerajaan dalam soal tersebut.

Kerajaan sentiasa mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil keputusan untuk menaikkan harga sesuatu barangan mahupun minyak bagi memastikan apa jua langkah yang diambil tidak membebankan rakyat, katanya.
________________________

Ada beberapa perkara menarik yang boleh kita berikan perhatian.  Kita cuma pilih satu aspek untuk renungan bersama:  Hakikat pendekatan ikut-sedap-mulut mengetuk pembangkang sudah ketinggalan zaman

Pendekatan yang digunakan pembesar Kerajaan ini boleh dipakai dengan berkesan dalam abad yang lalu dan ketika itu para pemimpin kerajaan Umno boleh saja tidur lena dengan menggormal hujah-hujah basi seperti ini.  Rakyat yang mereka tipu itu,  rata-rata percaya dan menerima segala pembohongan itu tanpa banyak soalan.

Mungkin juga ada orang begitu bersedap-sedap ― dan kerana tersangatlah sedapnya mendakap kuasa itu, lantas terlupalah mereka kita telahpun berada dalam tahun 2011.  Oleh sebab itu kita jangan terkejut jika cara, kaedah dan tipu muslihat lama jua yang masih mereka guna dan pakai. Ya, Umno masih berfikir rakyat yang mereka buli selama ini itu masih kekal terkurung dalam abad yang lalu.  Tak percaya cuba perhatikan bagaimana para pemimpin Umno ini,  terkial-kial merengkuh kotak kitab-kitab lama mereka demi untuk menafikan Buku Jingga Pakatan itu TIDAK relevan. 

Yang nyata Program Oposisi ini sangatlah memeningkan kepala Umno.    

Setiap kali ia berdepan dengan idea-idea pembaharuan oleh musuh politiknya, seperti biasa telatah, perangai dan tindakan Umno hanyalah reaktif sifatnya.  Sebagai contoh, kerajaan Pas Kelantan disergah apabila idea-idea bekerja lima hari dan cuti bersalin dibentangkan.  Umno di bawah Kutty itu, akhirnya nyata tak punya pilihan lain kecuali akur lalu meniru pendekatan sebuah kerajaan negeri yang menjadi musuh besarnya itu.  Umno terpaksa meniru idea Pas ini.  

Untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa ‘dianya’ BUKANLAH kaki tiru,  kita tentu masih ingat bagaimana Umno berbelit-belit, ‘kona sini, belok sana’ dalam melaksanakan idea cuti dan bekerja lima hari ini. 

Kita masih tertunggu-tunggu Umno yang jantan itu.  Atau apakah selamanya ‘dianya’ tak pernah jantan?


ii.

Hujah, alasan dan justifikasi sudahpun melimpah-limpah dan sisanya bertaburan seperti orang diserang cirit birit.  Beban kenaikan harga barang semakin mencekik rakyat.