Menjelang PRU13: Mengawasi langkah taktikal Umno/BN
“Kategori-kategori politik lama yang berasaskan prinsip dan gaya “perjuangan” parti-parti politik tradisional dengan ideologi yang terbentuk dalam kerangka sejarah lama ― baik sejarah kolonialisme, penindasan kelas maupun percaturan politik perkauman ― sudah tidak cocok lagi sepenuhnya dengan budaya dan psyche generasi baru di Malaysia kini.
Hakikat ini mungkin telah disedari oleh para pemimpin UMNO tertinggi sendiri, namun kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan budaya politik itu amatlah terbatas. Maka yang mampu mereka laksanakan hanyalah beberapa langkah “taktikal” jangka pendek seperti menangguhkan perhimpunan dan pilihan pimpinan selama 18 bulan ― seperti yang mereka lakukan pada bulan Mei 1999.”
Rustam A. Sani. 2004. Menjelang Reformasi – Kumpulan rencana-rencana akhbar 1997 – 1998 Kuala Lumpur: R Publishing Services.
Itulah yang ditulis oleh al-marhum Rustam dalam Pengantar (hal. xv) buku di atas beberapa tahun lalu dan pandangan ini tetap relevan sehingga ke hari ini, khususnya yang berkaitan langkah taktikal yang pasti digunakan oleh Umno/BN ― senjata untuk menyerang hendap pihak Oposisi dalam PRU13 nanti.
ii.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimanakah caranya mengenalpasti langkah-langkah taktikal Umno/BN dan segala aparatnya itu dalam PRU13 nanti.
Misalnya: Apakah strategi, kaedah, helah dan tipu muslihat yang bakal digunakan oleh Umno/BN untuk menawan semula DUN atau Parlimen yang telah dirampas oleh pihak Oposisi?
Salah satu gerak kerja yang penting ialah mengkaji dengan mendalam seluruh kawasan DUN dan Parlimen yang Umno/BN/Pakatan telah kalah ― lebih-lebih di kawasan-kawasan perbezaan atau selisih undinya yang menyebabkan UMNO/BN/Pakatan kecundang itu, sangatlah nipis.
Atau soalan Umnonya berbunyi begini: Apakah yang telah pincang dalam PRU12 yang lalu sehinggakan undi Umno/BN itu merosot/lari? Bagaimanakah caranya untuk mengatasi kekurangan-kemerosotan ini?
Di sinilah segala macam taktik, strategi dan tipu muslihat digunakan; taktik yang sah seperti merayu undi secara agresif atau mungkin juga taktik songsang lagi menjijikkan seperti penyusupan pengundi hantu, pemindahan keluar-masuk pengundi, tambahan pengundi baru yang bersimpati atau kaedah-kaedah lain yang sekelas dengannya.
Ini sekadar beberapa contoh yang sudah sekian lama menjadi rahsia umum yang perlu diperangi dengan bersungguh-sungguh pula oleh pihak Oposisi.
Yang tidak dapat Suhaizan Kayat (Pas) lupakan ialah bagaimana pula dengan pengundi pos yang begitu memudharatkan pihak Oposisi itu? Apakah tindakan untuk mengatasinya secara berkesan?
Bagaimana pula dengan daftar pengundi yang bakal digunakan untuk PRU13 nanti? Apakah yang perlu dilakukan oleh pihak Oposisi supaya segala macam penyelewengan itu dapat diperangi?
iii.
Bagaimanakah pelbagai ormas, organisasi massa yang bersimpati dengan gerakan reformasi pilihan raya kita itu dapat membantu? Ya, pelbagai ormas yang dambakan demokrasi tumbuh subur berupaya membantu agar proses pilihan raya kita menjadi bersih, telus dan adil?
iv.
Senarai soalannya sememangnya cukup panjang dan soalan-soalan seperti ini, amat penting demi untuk memantapkan lagi segala bentuk ikhtiar yang dapat diusahakan dalam memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat negara ini ― sebuah pemerintahan yang lebih adil, saksama, telus dan demokratik.
Bagaimanakah dan bilakah pelbagai ormas di negara ini dapat membantu?
Soalannya tentulah kita tujukan kepada pihak Oposisi.
No comments:
Post a Comment