Saturday, May 28, 2011

Projek itu ternakan

Dari laman: Roketkini.com

Anthony Loke: PLKN patut dikaji semula, bukan dipanjangkan tempoh
27 May 2011

SEREMBAN, 27 MEI – Jika Program Lathan Khidmat Negara (PLKN) yang bergelumang dengan pelbagai masalah dan menyusahkan para remaja, ia harus dikaji semula dan bukan dipanjangkan tempoh latihannya.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata cadangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menambah tempoh PLKN daripada 3 bulan yang dilaksanakan sekarang adalah tidak tepat dan tidak mampu menyelesaikan masalah yang ada.

“Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2003, PLKN telah dibelenggui dengan pelbagai kontroversi dan masalah. DAPSY membantah cadangan untuk memanjangkan tempoh latihan tersebut kerana ia bukanlah faktor utama sama ada program tersebut berjaya memupuk semangat patriotik di kalangan anak muda kita.

“Sekiranya Menteri sendiri mengakui program tersebut tidak berkesan untuk memupuk `semangat patriotik’, ia sepatutnya dikaji semula secara komprehensif sama ada patut diteruskan atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PLKN memakan belanja yang besar yang mencecah RM560 juta setahun.
“Sekiranya tempoh tersebut dipanjangkan, maka tanggungan kerajaan untuk program ini akan bertambah berlipat ganda. Adakah ini wajar dalam keadaan kewangan negara ketika ini yang terus mengurangkan pelbagai subsidi untuk barangan keperluan yang menghimpit kehidupan rakyat?

“Malah, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin sendiri telah menyarankan supaya PLKN dikaji semula,” tambah Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa PLKN akan memperkenalkan modul baru untuk mendidik para peserta tentang kepentingan untuk mengundi apabila mereka mencapai umur 21 tahun.

“(Apa) tujuan sebenar mengapa PLKN begitu beria-ia untuk memperkenalkan modul ini walau pun peserta PLKN belum pun layak untuk mendaftar sebagai pengundi?

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendidik orang muda tentang sistem demokrasi, ia sepatutnya dimulakan di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA) kerana merekalah yang berhak mengundi dan merupakan golongan yang sepatutnya digalakkan untuk mengambil berat tentang perkembangan politik negara dan sistem pilihanraya dan bukannya terus dibantutkan pemikiran mereka di bawah AUKU,” katanya.

Loke juga mempersoalkan niat PLKN memberi peranan tambahan kepada Biro Tata Negara untuk terus “membasuh” pemikiran anak muda dan memprogramkan minda mereka bagi mengundi Barisan Nasional. – Roketkini.com
____________________________

Ada beberapa cara kita membaca berita di atas:

1) Matlamat sebenar sesuatu projek

Setiap kali berdepan dengan rakyat aspek yang selalu dipidato dan dihujahkan ialah tentang kebaikannya sebagai Sang Penguasa.  Dia,  Sang Penguasa amat baik kerana semua projek adalah ‘demi pembangunan’.   

Yang perlu dibaca (kerana itulah hakikatnya) ialah: Berapa banyak peruntukan yang bakal mereka kaut dari kantung rakyat.  Dan berapa banyak yang dapat dipenyamun-terabuskan a la ‘satu untuk kau, sepuluh untuk aku’ setiap kali sesuatu projek itu diternak.

Dalam kes PLKN ini, lebih panjang tempohnya tentulah lebih bagus kerana lebih banyak peruntukan  ‘bangunkan insan’ yang diperlukan.


2) Kembangkan idea ke IPTA

Kata pemimpin DAP ini:

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendidik orang muda tentang sistem demokrasi, ia sepatutnya dimulakan di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA)”

Kita risau dengan cadangan seperti ini.  Bolehkah kita tunjukkan SATU contoh, ya satu contoh yang baik ― projek yang mana satukah yang telah mereka gubal itu benar-benar ikhlas-telus mahu membantu rakyat?

Umumnya ‘cadangan projek’, lebih-lebih yang maha mega itu adalah ternakan yang dibentangkan oleh para kroni dan cukong ― sahabatnya Sang Penguasa.  Sejak zaman pengswastaan bermula dan bermaharajalela, mereka inilah yang mengambilalih peranan pelbagai agensi Pusat.  Merekalah penentu agenda pembangunan kita.    

Itulah salah satu sebab utama kenapa perjanjian pengswastaan kita, pada hakikatnya ― ternyata ― begitu sekali membebankan rakyat kerana dalam merancang sesuatu PROJEK, rakyatlah  yang dikemudiankan.