Friday, April 11, 2014

Kenangan Seorang Polis





MEMALI Kenangan Seorang Polis






















Tunku Muszaffar Shah bin Tunku Ibrahim: MEMALI Kenangan Seorang Polis. Marshall Cavendish, 2012: 109-110 telah merakamkan:

 
“Pegawai polis sepatutnya bersikap non-partisan (tidak memihak)


Adalah satu perkara yang paling mustahak iaitu para pegawai polis tidak boleh bersikap menyebelahi mana-mana pihak semasa menjalankan tugas.  Polis patut memastikan pelaksanaan undang-undang dan memberi layanan yang sama kepada semua pihak selain tidak membenarkan dirinya ditekan agar membuat itu ini menurut segala kehendak pemimpin politik.  Tindakan melayan semua parti politik dengan cara yang sama akan membuat orang awam mempercayai anda.  Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat memberikan layanan yang adil kepada semua parti politik, terutama UMNO dan PAS ketika saya berkhidmat sebagai OCPD di Baling.  Itulah saja perkara yang telah menyelamatkan diri saya daripada disakiti oleh para perusuh pada kejadian malam 20 Oktober 1985 itu.”


Sementara itu Tunku Abdul Aziz dalam “Kata-kata penutup” buku yang sama (hal 195-96),  pula menulis begini:







Dalam peristiwa ini, Musa Hitamlah yang terpaksa memikul beban untuk dipersalahkan di atas pembunuhan beramai-ramai di Memali.  Mahathir, di mana sebelum ini beliau pernah menghentam Israel kerana berperang hanya menerusi proksi, nampaknya beliau sendiripun tidak berkecuali atau rasa keberatan untuk menyuruh orang lain melakukan segala kerja jahat bagi pihaknya.  Mahathir yang kononnya seorang maverick yang berani itu memang terkenal dengan kemahiran beliau untuk menghilangkan diri semasa sesuatu keputusan yang kurang popular terpaksa dilaksanakan.  Dalam situasi ini pula, beliau sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berada di luar negara ketika itu.  Pada hakikatnya beliau ketika itu ada di dalam negara dan beliau ada dimaklumkan setiap perkembangan berkaitannya oleh kedua-dua Musa Hitam dan Mohamad Amin. Kedua-duanya telah memujuk Mahathir agar beliau tidak berangkat untuk melakukan lawatan rasmi ke negara China kerana situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Memali pada masa itu terlalu genting dan berbahaya.  Beliau turut diingatkan oleh Musa bahawa Kedah adalah negeri beliau sendiri.  Namun Mahathir menegaskan bahawa beliau tetap perlu pergi ke China kerana segala persiapan telahpun siap diatur bagi menyambut ketibaannya.  Hebat sungguh rasa tanggungjawab umum beliau.  Apabila terpaksa melepaskan diri daripada sebarang situasi genting yang timbul, beliau ternyata orang yang paling arif dalam segala muslihatnya.”




No comments: