Cerita kepimpinan itu
Sepertimana dalam persoalan yang lain(1), kepimpinan juga ada ungkapan retoriknya seperti ‘kepimpinan itu satu amanah, bukanlah satu keistimewaan.’ Kalaulah ada burung yang mendengar ungkapan ini nescaya ia akan berhenti terbang dan turun ke bumi untuk bersimpuh di depan pemimpin yang sedemikian.
Bagi kita salah satu sebab utama kenapa Umno sedemikian rosak ialah kerana kepercayaan tegar para pemimpinnya yang cukup yakin ― seyakin-yakinnya bahawa hanya keturunan mereka saja yang layak memimpin. Kerosakan ini ditokok tambah pula oleh penulis@pemerhati yang begitu ghairah dan bersusah payah pula meramalkan bahawa negara ini miliknya mereka yang terkandung di dalam nama keramat RAHMAN itu. Maka para penulis ini pun bernafsu sekali berhujah bahawa siapa saja yang tidak termasuk ke dalam senarai tidak layak masuk ke dalam kelab elit pemimpin negara ini. Sebabnya cukup mudah: Agaknya negara yang namanya Malaysia itu adalah hak miliknya kepala bapa orang-orang yang tertentu saja. Oleh sebab itu sebelum ‘dianya’ mati, ‘dianya’ mestilah memastikan ini semua ini berlaku.
Sebenarnya kerosakan yang bertimbun-timbun yang sedang mencekik nyawa kita sekarang ini bukanlah sesuatu yang terjadi sekali gus. Kebanyakan kerosakan ini bermula sedikit demi sedikit, seperti anai-anai ― diam-diam tapi gigih membina busut jantan. Ini berlaku dalam proses mengabsahkan hal-hal korupsi dan salah guna kuasa. Dan biasanya ia bermula dengan justifikasi oleh sekalian yang berkepentingan atau mereka yang sekelas dengannya. Untuk mengabsahkan segala tindakan itu, para pecacai yang berkepentingan ini berhujah dan berjustifikasi bahawa projek ini atau pemimpin ini perlu kerana alasan itu dan ini.
ii.
Jidinisme yang sedang melanda JKR itu adalah fenomena biasa dalam pemerintahan Umno. Pegawai awam, lebih-lebih lagi para ketua-ketua pengarah biar betapa cemerlang sekali pun tidak akan bertahan lama ― jika tidak disenangi Umno.
Semua ini berulang-ulang sepanjang masa kerana kita secara keseluruhannya membiarkan perkara-perkara seperti ini terus menerus berlaku. Jabatan-jabatan yang terlibat membiarkan semua ini berlaku kerana pelbagai sebab.
Masyarakat umum tidak mempedulikannya kerana itu adalah masalah pentadbiran, masalah dalaman JKR. Ahli-ahli parlimen kita jarang sekali memandang isu-isu seperti ini sebagai sesuatu isu serius yang mesti diangkat ke pengetahuan rakyat jelata demi untuk memastikan supaya kerja-kerja buruk lagi jahat yang membunuh kecemerlangan penjaat awam yang kita cari-cari itu dihalang dan ditentang dengan bersungguh-sungguh.
Akibat perbuatan yang mengikut hawa nafsu itu Jabatan bakal berpecah belah. Kelompok yang menentang KP baru misalnya bakal disisih sebagai pengacau yang tidak disenangi. Para pengampu akan bersuka ria kerana kuda lumbanya telah menang perlumbaan yang sengit. Jabatan mungkin saja berpecah belah, berpuak-puak dan menjadi kacau bilau. Lihatlah tragedi yang pernah menimpa seluruh kehakiman semasa Tun Salleh Abas dipecat. Lihatlah tragedi yang telah menimpa DBP.
Di mata Sang Penguasa itu, semua ini baik, aman dan sempurna kerana di sana sudah ada nafsu serakah yang telah dikenyangkan.
Kita menentang bukan kerana itu kisah dan tragedinya seorang Jidin.
Kita ingin menyatakan hakikat betapa perkasanya kuasa politik itu di negara kita. Kuasa politik yang korup lagi bebal.
iii.
Cerita utama di sini ialah tentang pemimpin, kepimpinan dan peranan ahli-ahli parti.
Ini adalah cerita tentang peranan rakyat jelata yang perlu diajak supaya mampu melihat jauh di luar zon makan, minum dan sanggama semata-mata.
Parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak boleh membiarkan fenomena seperti ini berlaku dalam batang tubuhnya. Jika semua ini tidak berubah, maka perubahan yang diharap-harapkan adalah mimpi kosong yang cukup panjang.
______________________________________
(1) Salah satu contohnya ialah pernyataan seseorang pemimpin itu tentang ‘keterbukaannya’ ‘Saya sentiasa saja terbuka, jangan bimbang, tegurlah saya, dapat menerimanya.’ Sebagai peringatan tambahan, janganlah tuan terlalu percaya dengan pernyataan seperti ini kerana ini hanyalah sekadar pemanis bicara saja. Kerap juga yang memberikan pengakuan sebegini sebenarnya belum lagi bersedia untuk ditegur apatah lagi dibelasah di depan khalayak. Kita tentu masih ingat bagaimana seorang prof undang-undang itu dibelasah dengan teruknya. Dan ramai yang lupa bahawa pengkritik seperti ini sukar diperolehi di dalam masyarakat kita yang katanya tinggi adab budayanya. Siapakah profesornya yang rela dihina sebagai guru tadika?
No comments:
Post a Comment