Sumber: The Malaysian Insider
Agama rasmi: Umno, PAS perlu buktikan melalui program, kata Mufti Perlis
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
May 11, 2011
KUALA LUMPUR, 11 Mei — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan Umno dan PAS tidak wajar bercakap soal Islam sebagai agama rasmi negara selagi kedua-dua parti itu gagal melaksanakan pengisian program ke arah itu.
Tegas beliau, Umno dan PAS perlu memperjelaskan langkah atau tindakan yang akan diambil bagi meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Tambah beliau, Umno dan PAS perlu membuktikan kepada rakyat melalui program-program yang dilaksanakan.
________________________________
Ada beberapa perkara asas/pokok berhubung kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang kekadang tidak ditanggapi dengan betul oleh ramai juga rakyat Malaysia. Ramai yang keliru dan tidak sedar bahawa itu adalah fahaman yang sedikit keliru.
Contoh-contoh yang paling mudah ialah seperti berikut:
Bahawa Umnolah yang bertanggungjawab misalnya membayar gaji para penjawat awam. Itulah persepsi sekian ramai rakyat jelata yang berada di luar sana. Itulah sebabnya Pak Cik yang menoreh getah di kebun miliknya sendiri masih belum begitu berani bersuara ― mengkritik kerajaan kerana kerajaan itu adalah Umno.
Bahawa BUKAN semua sekolah di seluruh Negeri Kelantan itu dapat ‘dimasuki’ secara rasmi untuk urusan-urusan rasmi walaupun oleh Exco Pelajaran kerajaan negeri, YB Nik Amar. Masih ramai yang tidak tahu bahawa hanya sekolah di bawah YIK (Yayasan Islam Negeri Kelantan) saja yang dapat disentuh oleh kerajaan Negeri. Itulah sebab musababnya kenapa pihak polis dapat memasuki sekolah untuk berceramah tentang Anwar Ibrahim, video lucah itu dan juga katanya keterlibatan musuh ketat Umno ini dalam peristiwa Memali! Untuk program ini, katanya kesemua pengetua sekolah dan para gurunya diarah supaya hadir untuk mendengar taklimatnya oleh besar polis ini.
Bahawa peruntukan untuk membeli tong-tong sampah itu dikuasai dan dikawal oleh kerajaan persekutuan. Bahawa isu tong sampah juga boleh mencederakan sesebuah kerajaan negeri.
Bahawa keselamatan di sesebuah negeri itu adalah tanggungjawab kepolisian yang terletak di bawah dan menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Bahawa kerajaan negeri tidak boleh memandai-mandai misalnya menubuhkan polis bantuannya sendiri. Lihatlah contohnya di negeri Selangor.
Bahawa Pos Malaysia itu bukan lagi sebuah Jabatan kerajaan dan institusi ini telahpun menjadi sebahagian daripada hak swasta.
Bahawa segala kutipan yang diperolehi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dikawal dan diurus oleh kerajaan pusat.
Bahawa walaupun sesebuah negeri itu menghasilkan minyak yang sangat berharga dan bernilai kepada seluruh rakyat negeri tersebut, belum tentu sesebuah negeri itu dapat menikmati hasilnya. Kelantan ialah salah satu daripada buktinya.
Tuan Mufti tentu cukup faham lagi arif dengan segala dan apa yang telah terjadi kepada enactment hudud oleh Pas di Kelantan.
Bahawa gaji polis, tentera itu dibayar dari hasil keringat rakyat jelata ― bukannya dari dana Umno/BN!
Bahawa negara Malaysia ini miliknya rakyat Malaysia ― bukannya United Malays National Organisation (betapa hinanya menjadi Melayu, nama pun mesti dalam bahasa Inggeris.)
ii.
Berdasarkan senario seperti di atas ini, kita mungkin boleh bertanya:
Apakah sesorang itu dapat bertinju jika tangannya diikat dan bersimpul mati?
Apakah seseorang manusia itu mungkin memperolehi zuriat yang sah jika dia tidak dibenarkan menikah dengan cara yang sah pula?
Kita percaya bahawa segala kemusykilan Tuan Mufti tentang Islam dan ‘pelaksanaannya’ di negara kita selama ini itu ― lebih elok, lebih sesuai, lebih tepat, lagi molek dan lagi afdhal jika Tuan tujukan kepada Umno saja. Biarlah Umno yang menjelaskan kerana Umnolah yang memerintah kita, sejak kita merdeka.
Bukankah United Malays National Organisation jugalah yang memerintah Islam selama ini?
Bukankah begitu, Tuan Mufti?